KUALA LUMPUR 4 Okt - KKB Engineering Bhd. memiliki peluang cerah untuk terlibat dalam penerokaan telaga di Blok SK320 di Wilayah Luconia Tengah, kira-kira 220 kilometer dari pantai Bintulu di Sarawak.
Ini berikutan Petronas baru-baru ini mengesahkan penemuan takungan gas berkualiti melalui telaga penerokaan Cengkih-1 di wilayah tersebut.
Menurut RHB Research, penemuan itu akan membuka peluang kepada unit fabrikasi keluli KKB Engineering meliputi kemudahan minyak dan gas (O&G) memandangkan terdapat keperluan bagi aktiviti penggerudian telaga di kawasan tersebut berkenaan.
Tambahan pula, katanya, anak syarikatnya, OceanMight tidak asing lagi kepada Blok SK320 dan Mubadala Petroleum, operator di blok tersebut.
"Kami berpendapat, menerusi OceanMight, ia akan muncul sebagai penerima manfaat daripada penemuan ini, tambahan pula ia pernah dianugerahkan kontrak oleh Sapura Fabrication pada Mei 2018 untuk penyediaan perolehan dan pembinaan telaga, cerucuk dan konduktor bagi Projek Pembangunan Pegaga di bawah Mubadala Petroleum (projek ini telah siap).
"Walaupun jika platform telaga yang dinyahtauliahkan akan digunakan, OceanMight masih boleh mendapat manfaat walaupun dengan nilai kontrak yang lebih rendah melalui kerja-kerja kelayakan semula," katanya dalam nota kajian hari ini.
Blok SK320 itu dikendalikan Mubadala Petroleum yang memiliki 55% kepentingan dalam kontrak perkongsian pengeluaran, manakala 45% dimiliki Petronas Carigali Sdn. Bhd. dan Sarawak Shell.
Ia telah memulakan pengeluaran gas pertamanya melalui medan gas Pegaga pada awal Mac lalu, yang merekodkan penemuan 1 trilion kaki padu gas tambahan, berikutan hasil pasca gerudi yang mengesahkan takungan yang lebih besar dan berkualiti. Sementara itu, telaga penerokaan Cengkih-1 terletak berhampiran medan Pegaga.
Secara keseluruhan, RHB Research mengulangi bahawa perbelanjaan modal (capex) yang lebih tinggi oleh Petronas mungkin meningkatkan perniagaan fabrikasi keluli OceanMight untuk platform O&G.
"Ini kerana ia merupakan satu-satunya fabrikasi berlesen Petronas yang lain di Sarawak selain Brooke Dockyard dan Engineering Works Corp.," tambahnya.
Firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap KKB Engineering dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.85 sesaham. - DagangNews.com