KNM berbincang dengan pemiutang langkah percepatkan penyelesaian hutang | DagangNews Skip to main content

KNM berbincang dengan pemiutang langkah percepatkan penyelesaian hutang

KUALA LUMPUR 2 Feb - KNM Group Berhad yang baru-baru ini gagal membayar hutang berjumlah lebih RM420 juta, sedang berbincang dengan semua pemiutangnya untuk menyelesaikan segala hutang dengan menjana kewangan daripada aset bukan teras dan penjualan Borsig GmbH.

 

Katanya, rancangan akan "dipercepatkan" untuk menjana kewangan menerusi aset di bawah proses pelupusan berdasarkan struktur perjanjian bukan eksklusif, yang akan membawa kepada nilai tunai yang lebih tinggi untuk pelupusan.

 

"CGIF (Credit Guarantee and Investment Facility), TA (TransAsia Private Capital Ltd)/Danos (Ltd) dan semua pemberi pinjaman lain (termasuk Bank of China) bekerjasama dengan lembaga pengarah dan KNMG (KNM Group) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ravi Balasingham ke arah mencapai resolusi penyelesaian yang boleh diterima bersama bagi penyelesaian yang disebabkan oleh pemberi pinjaman masing-masing daripada penjanaan kewangan daripada aset bukan teras dan IPO/penjualan Borsig GmbH, seperti yang diumumkan sebelum ini," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

KNM berkata, ia telah mengadakan perbincangan berterusan dengan pemberi pinjaman masing-masing mengenai pelbagai langkah untuk menangani kegagalan pembayaran seperti yang disebutkan.

 

“Pembayaran balik akan diuruskan, ditangani dan/atau distruktur semula di bawah cadangan skim pengaturan seperti yang diumumkan pada 16 Disember 2022,” katanya.

 

Dalam pemfailan berasingan, KNM berkata, penjanaan kewangan aset adalah sebahagian daripada pelan penyusunan semulanya seperti yang dikehendaki di bawah Keperluan Penyenaraian dan ia mempunyai kira-kira sembilan bulan untuk menyerahkan pelan penyusunan semulanya di bawah Nota Amalan 17 kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk kelulusan.

 

KNM mengumumkan bahawa pada Disember lalu mereka gagal melunaskan pinjaman kira-kira RM416.8 juta yang dipinjam melalui tiga anak syarikat milik penuh tidak langsungnya berikutan kegagalan penjualan Borsig GmbH.

 

Anak syarikat yang terlibat adalah Peterborough Green Energy Ltd yang telah diberikan pinjaman sebanyak AS$68.5 juta (RM315.65 juta) oleh Danos Ltd, serta KNM Renewable Energy Sdn Bhd (KNMRE), yang menerima pinjaman sebanyak AS$13 juta (RM57.17 juta), dan Splendid Investments Ltd, yang diberikan pinjaman sebanyak AS$10 juta (RM44 juta). 

 

Pinjaman KNMRE dan Splendid Investments yang diterima adalah daripada TransAsia Private Capital Ltd.

 

KNM menyatakan mereka menerima saman pemula daripada TA Private Capital Security untuk menguatkuasakan haknya bagi melaksanakan pemindahan 45% saham dalam KNM Process Systems Sdn Bhd yang dicaj oleh KNM sebagai jaminan untuk pinjaman AS$10 juta yang diberikan oleh TransAsia Private Capital kepada Splendid Investment.

 

KNM sebelum ini bersetuju dengan Danos dan TransAsia Private Capital bahawa akan menggunakan sebahagian daripada hasil RM1.03 bilion yang dijangka diperoleh daripada cadangan pelupusan Borsig untuk membayar balik hutang.

 

Kemudian pada bulan yang sama, KNM sekali lagi gagal melunaskan pembayaran pokok sebanyak AS$3.4 juta (RM15.04 juta) dengan faedah tertunggak sebanyak AS$16,104 kepada Bank of China (Malaysia).

 

Kegagalan itu adalah daripada KNM Capital Labuan Ltd yang berlaku pada 26 Disember, kata KNM menerusi pemfailan kepada Bursa pada 27 Disember. - DagangNews.com