Kontrak Roc Oil akan tingkatkan kadar penggunaan pelantar Velesto Energy - HLIB | DagangNews Skip to main content

Kontrak Roc Oil akan tingkatkan kadar penggunaan pelantar Velesto Energy - HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Feb - Kejayaan Velesto Energy Berhad meraih kontrak baharu bernilai AS$14 juta daripada Roc Oil (Sarawak) Sdn. Bhd. dijangka meningkatkan kadar penggunaan pelantar campuran keseluruhannya serta peningkatan kadar sewa harian (DCR).

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, kerja-kerja itu dijangka bermula pada Februari 2023 untuk anggaran empat bulan (atau 120 hari).

 

"Kami positif dengan kemenangan kerja kerana ia akan memastikan pelantar Naga 2 Velesto diduduki sehingga pertengahan Jun 2023, yang akan membantu meningkatkan kadar penggunaan pelantar campuran keseluruhan syarikat didorong peningkatan DCR.

 

"Menerusi kontrak itu, semua pelantar Velesto kini digunakan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, Velesto memperoleh kontrak daripada Roc Oil (Sarawak) untuk menyediakan perkhidmatan penggerudian pelantar jack-up.

 

Kontrak itu memerlukan penggerudian tiga telaga, yang diperoleh khusus untuk rig Naga 2 Velesto.

 

BACA JUGA: Velesto Energy raih kontrak penggerudian pelantar jack-up bernilai AS$14 juta

 

Firma itu kekal optimis dan percaya bahawa Velesto akan mencatatkan keuntungan pada suku keempat 2022 dengan keputusan kewangan itu akan dikeluarkan pada 27 Februari 2023.

 

“Syarikat itu akan memperoleh keuntungan pada tahun kewangan 2023 (FY23) kerana semua pelantarnya disewa sehingga sekurang-kurangnya hingga akhir tahun," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi iaitu 29 sen berbanding 17 sen.

 

Katanya, harga itu selaras dengan keperlbagaian yang dikaitkan dengan semua penyedia perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE). - DagangNews.com