Krisis Silicon Valley Bank: Adakah ini titik ulangan Krisis Kewangan Global? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 15 March 2023

Krisis Silicon Valley Bank: Adakah ini titik ulangan Krisis Kewangan Global?

 

 

SILICON VALLEY BANK adalah bank ke-16 terbesar di Amerika Syarikat untuk pelabur khususnya buat pemodal teroka dan syarikat pemula inovatif berasaskan teknologi di Silicon Valley dan beribu pejabat di Santa Clara, California.

 

Kejatuhan Silicon Valley Bank pada Jumaat lepas telah mendatangkan kebimbangan buat seluruh sistem kewangan serta menggegarkan sektor teknologi dunia. Ini kerana ia merupakan kegagalan institusi perbankan kedua terbesar sejak krisis ekonomi global 2008 dalam sejarah Amerika Syarikat selepas kejatuhan Washington Mutual pada tahun yang sama.

 

Apa yang dihadapi oleh Silicon Valley Bank ini sebenarnya boleh diibaratkan hampir sama dengan kejatuhan yang dialami oleh Washington Mutual yang dicetuskan oleh keadaan histeria dan panik pendeposit yang merujuk kepada Bank Run.

 

Bank Run atau Run adalah isu klasik yang dihadapi oleh bank. Ia berlaku apabila sebilangan besar pendeposit atau pelanggan hilang keyakinan dan mula membuat pengeluaran daripada bank secara serentak kerana rasa bimbang terhadap kedudukan semasa bank tersebut yang bakal kehabisan wang  atau bankrap.

 

Keadaan ini tercetus disebabkan oleh keadaan histeria dan panik yang datang dari pendeposit dan pelanggan bank itu sendiri. Namun, ia tidak menggambarkan keadaan atau kedudukan kewangan bank sebenar.


 

SILICON VALLEY BANK

 


Apabila lebih ramai pendeposit dan pelanggan menjadi panik dan membuat keputusan untuk mengeluarkan wang mereka secara serentak, kebarangkalian untuk bank menjadi bankrap adalah tinggi disebabkan oleh keadaan rizab bank semasa yang mungkin tidak mencukupi untuk menampung permintaan pengeluaran deposit.

 

Tetapi kegagalan Silicon Valley Bank boleh dikatakan berbeza jika dibandingkan dengan Washington Mutual kerana ciri uniknya dan majoriti deposit bank tidak diinsuranskan oleh Perbadanan Insurans Deposit Persekutuan (FDIC) kerana sebahagian besar pelanggannya adalah syarikat pemula dan pekerja dari sektor teknologi yang kaya.

 

Masalah deposit bank yang tidak diinsuranskan ini merujuk kepada deposit yang melebihi AS$250,000 atau had jumlah maksimum yang dikenakan oleh kerajaan Amerika Syarikat untuk insurans terhadap deposit.

 

Oleh kerana pelanggan Silicon Valley Bank kebanyakannya terdiri dari syarikat pemula dan orang kaya, mereka tidak pasti apa yang akan berlaku kepada wang mereka kerana deposit mereka melebihi had maksimum yang diinsuranskan.

 

Sama ada pendeposit yang mempunyai lebih daripada AS$250,000 akan mendapat semula semua wang mereka, ini bergantung dan akan ditentukan oleh jumlah wang yang diperoleh pengawal selia selepas menjual aset Silicon Valley Bank.

 

Tragedi Silicon Valley Bank

Kejatuhan Silicon Valley Bank bermula pada Rabu minggu lepas apabila bank itu dilaporkan menjual sebahagian sekuriti pada kerugian. Situasi ini telah mencetuskan histeria serta panik dalam kalangan firma modal teroka utama, yang dilaporkan menasihatkan pelanggan Silicon Valey Bank untuk mengeluarkan wang mereka.

 

Silicon Valley Bank terpaksa menjual sebahagian sekuriti iaitu bon yang tersedia bernilai berbilion dolar apabila ia mendapati kekurangan modal untuk memenuhi permintaan pengeluaran deposit oleh pelanggan.

 

Kerugian AS$1.8 bilion ini disebabkan oleh kejatuhan nilai pelaburan dalam bon disebabkan kadar faedah yang lebih rendah berbanding dengan bon yang setanding di dalam persekitaran kadar faedah yang lebih tinggi hari ini – interaksi songsang nilai bon dan kadar faedah.

 

 

parafrasa

 

 

Pada kebiasaanya ini bukan masalah besar terhadap bank, kerana pelaburan dalam bon dianggap selamat dan mempunyai risiko yang rendah. Bank akan memegang pelaburan dalam bon untuk satu jangka masa yang lama, melainkan mereka terpaksa menjualnya di saat kecemasan bagi memenuhi permintaan pengeluaran deposit pelanggan.

 

Silicon Valey Bank juga dilaporkan cuba mendapatkan modal tambahan di tengah-tengah penurunan dalam deposit melalui penjualan ekuiti tambahan baharu bernilai AS$2.25 bilion tetapi gagal.

 

Kejatuhan Silicon Valley Bank ini telah meninggalkan ‘lubang ternganga’ dalam sektor teknologi, di mana pengasas syarikat pemula dan pemodal teroka tertanya-tanya bagaimana mereka akan membayar pekerja mereka dan meneruskan operasi perniagaan mereka selepas tragedi ini.

 

Ada pakar berpendapat bahawa kejatuhan Silicon Valley Bank ini bukan hanya berpunca dari Bank Run. Ia juga disebabkan oleh model perniagaan bank itu sendiri yang merujuk kepada idiosyncratic situation di mana mereka hanya memberi tumpuan spesifik terhadap industri tertentu iaitu sektor teknologi.

 

Kegagalan Silicon Valley Bank Bakal Mencetus Krisis Kewangan?

Mana-mana bank dikehendaki mempunyai sejumlah aset yang cukup untuk mengimbangi liabiliti mereka. Terdapat banyak formula dan kiraan yang boleh digunakan untuk memperincikan apa yang boleh dikelaskan sebagai aset dan apa yang boleh dikelaskan sebagai liabiliti dan terdapat juga formula dan kiraan untuk menentukan betapa sihatnya sesebuah bank itu melalui perbandingan nilai aset dengan nilai liabiliti.

 

Namun pada dasarnya, bank memerlukan deposit pelanggan untuk memberi pinjaman dan membuat pelaburan. Jika pelanggan mula mengeluarkan deposit mereka disebabkan mereka telah kehilangan keyakinan terhadap bank, bank perlu mencari alternatif lain sama ada untuk mendapatkan lebih banyak modal untuk meningkatkan pemilikan aset mereka atau dengan cara mengurangkan liabiliti yang ditanggung oleh mereka.

 

Meningkatkan modal biasanya melibatkan sesuatu seperti penjualan ekuiti tambahan atau melalui mencairkan pemegang saham sedia ada. Mengurangkan liabiliti pula, pada kebiasaannya adalah melalui menjual pinjaman mereka kepada institusi kewangan lain yang berpotensi dan mempunyai kedudukan dan keupayaan kewangan yang lebih sihat.

 

Tetapi cara ini juga bakal mengundang bencana dan kesakitan yang tak di undang pada masa hadapan bagi jangka masa panjang.

 

 

svb

 

 

Apabila sesebuah bank sedang mengalami tekanan kewangan, mereka tidak mempunyai kuasa rundingan untuk mendapatkan tawaran yang lebih baik. Contohnya, dalam meningkatkan modal melalui penjualan ekuiti tambahan.

 

Apabila kekurangan keyakinan terhadap bank berlaku, ia akan mendorong harga saham untuk turun malah menyukarkan bank untuk mendapatkan modal tambahan melalui penjualan ekuiti tambahan baharu.

 

Tambahan pula, dalam mengurangkan liabiliti melalui penjualan pinjaman. Institusi perbankan yang berpotensi untuk membeli pinjaman ini akan menjadi sangat berhati-hati jika bank berada di bawah tekanan kewangan. Ini kerana mereka akan menangguk dalam air keruh, dengan tidak akan membayar nilai yang tinggi untuk pinjaman tersebut.

 

Mereka juga akan menjadi lebih selektif di mana mereka hanya akan berminat dengan pinjaman yang berkualiti tinggi, bukan pinjaman yang bersifat spekulatif dan berpotensi untuk menjadi default (tidak dibayar balik) pada masa hadapan. Ini bermaksud bank tidak mempunyai pilihan lain. Mereka terpaksa menjual pinjaman berkualiti tinggi pada harga yang rendah.

 

Jika ini kedengaran biasa, adakah kegagalan Silicon Valley Bank bakal menjadi titik ulangan krisis kewangan global?

 

Kebarangkalian adalah TIDAK! Ini kerana selepas krisis kewangan yang berlaku pada tahun 2008, sektor kewangan terutamanya sektor perbankan menjadi lebih utuh.

 

Kerajaan melalui bank pusat telah meletakkan keperluan rizab modal yang sangat ketat untuk bank-bank dalam usaha untuk mengurangkan risiko kegagalan sektor perbankan dalam sistem kewangan.

 

Tambahan pula, bank-bank juga telah diuji dengan kerap secara sistematik untuk memastikan mereka mampu menyerap kejutan dan menguruskan risiko dengan lebih efektif dan sistematik pada masa hadapan.

 

 

parafrasa

 

 

Apa yang terjadi terhadap Silicon Valey Bank perlu dilihat melalui perspektif yang berbeza. Sudah pasti, mereka berada di bawah tekanan apabila menghadapi krisis Bank Run, mereka juga sangat spesifik dengan hanya memberi tumpuan terhadap sektor yang spesifik dan juga mempunyai pendedahan risiko yang sangat spesifik.

 

Kesimpulan bahawa tragedi ini bakal menjadi titik ulangan krisis kewangan global tidak boleh dinoktahkan buat masa sekarang. Bank-bank yang masih kekal beroperasi perlu mengambil iktibar dan mengekstrapolasinya!

 

Tragedi Silicon Valley Bank ini juga telah menimbulkan persoalan – adakah kenaikan kadar faedah (pengetatan dasar monetari) secara agresif menyebabkan tragedi ini berlaku?

 

Realitinya, tekanan dan risiko tetap akan hadir samada dalam bentuk yang sama atau berbeza pada masa mendatang.

 

Tetapi jika kita tidak belajar dari kejatuhan ini dan krisis ekonomi sebelumnya, nescaya sejarah akan berulang. – DagangNews.com

 

 
Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat
Portfolio Tags