Lagenda Properties dijangka lancar perbandaran mampu milik di Mersing menjelang 1HFY23, kata AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Lagenda Properties dijangka lancar perbandaran mampu milik di Mersing menjelang 1HFY23, kata AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Mac - Lagenda Properties Berhad merancang untuk melancarkan perbandaran baharu di Mersing, Johor pada 1HFY23. 

 

AmInvestment Bank Research berkata, ketidakpadanan harga antara rumah dan kemampuan golongan B40 di negeri itu akan membolehkan kumpulan itu menembusi Wilayah Selatan dengan hartanah mampu milik.

 

Firma itu berkata, sehingga kini, kumpulan itu sudah melancarkan hartanah bernilai RM370 juta di Darulaman Lagenda, yang merupakan 63% daripada jumlah nilai pembangunan kasar projek itu.

 

Katanya, hasil daripada sambutan menggalakkan dengan peratusan tempahan yang tinggi, kumpulan itu sedang berusaha mengembangkan kehadirannya di Kedah dengan perolehan tanah tambahan dalam tempoh terdekat.

 

Kakitangan kerajaan membentuk 80% daripada profil pembeli di Kedah dan firma itu percaya bahawa sebahagian besar tempahannya akan ditukar kepada jualan kerana penjawat awam mempunyai nisbah penukaran jualan yang lebih tinggi sebanyak 90% berbanding 50-60% untuk pembeli dari sektor swasta.

 

"Projek yang dilancarkan sebelum 2022 sudah hampir siap dengan kemajuan pembinaan antara 72% hingga 97%.

 

"Melangkah ke hadapan, kami percaya majoriti pendapatan FY23 akan disumbangkan oleh Bandar Baru Setia Awan Perdana (BBSAP) 4A, Lagenda Teluk Intan (LTI) 2, LTI 3A, Lagenda Tropika Fasa 1 dan Kedah Darulaman Fasa 1, 2," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu bekerjasama dengan Inta Bina untuk melancarkan sistem bangunan perindustrian (IBS) untuk BBSAP 4B, LTI3A/3B dan Darulaman Lagenda.

 

Katanya, ia akan memendekkan masa pembinaan dan meningkatkan kecekapan, mengurangkan keperluan tenaga kerja antara 60% hingga 70%.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) RM1.81 sesaham. - DagangNews.com