Langkah Malaysia ratifikasi CPTPP bukti dasar mesra perdagangan yang berterusan - AMCHAM | DagangNews Skip to main content

Langkah Malaysia ratifikasi CPTPP bukti dasar mesra perdagangan yang berterusan - AMCHAM

KUALA LUMPUR 6 Okt  - Komitmen Malaysia untuk melaksanakan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) membuktikan negara ini terus mengekalkan dasar yang proaktif dan mesra perdagangan, demikian menurut Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM).

 

AMCHAM dalam kenyataan hari ini berkata, langkah itu dijangka meningkatkan daya saing Malaysia berikutan keupayaan perjanjian itu untuk mengakses pasaran baharu dengan cara mendapatkan input berkualiti tinggi daripada pelbagai negara.

 

Ketua Pegawai Esekutifnya Siobhan Das berkata, menerusi pelaksanaan CPTPP, Malaysia akan menerima manfaat daripada peluang ekonomi yang rancak dan ia relevan kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

 

“Dengan mengurangkan kos dan halangan perdagangan, berserta dengan mekanisme pembinaan kapasiti dalam perjanjian itu, PMKS akan berupaya memacu daya saing dengan disokong ciri-ciri moden terutamanya dalam persekitaran rangka kerja ekonomi digital yang berkembang pesat.

 

“Susulan pelaksanaan CPTPP berkuat kuasa November, syarikat global termasuk anggota Amcham dan syarikat multinasional lain yang berhasrat mempelbagaikan rantaian bekalan mereka akan mendapat perkhidmatan yang baik kerana mereka bergabung dengan Malaysia dan ekosistemnya yang berdaya tahan, ke rangkaian perdagangan global,” katanya, Bernama melaporkan.

 

Semalam, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengumumkan bahawa kerajaan telah menyerahkan instrumen ratifikasi untuk perjanjian itu kepada New Zealand, depositari CPTPP, pada 30 Sept 2022.

 

AMCHAM berkata penyertaan Kanada, Mexico dan Peru akan memacu bukan sahaja peluang eksport, malah mewujudkan potensi rangkaian kritikal baharu dalam rantaian nilai global yang memberikan lebih daya tahan kepada rantaian bekalan baharu dan sedia ada.

 

“Analisis kos-faedah mengunjurkan jumlah perdagangan Malaysia akan naik kepada AS$655.9 bilion pada 2030 melalui penyertaan dalam perjanjian ini. Sudah pasti, para penandatangan akan turut menyaksikan penyertaan baharu, yang pertama seperti dijangkakan iaitu United Kingdom.

 

“CPTPP akan turut menjadi pelengkap kepada manfaat yang ditawarkan oleh Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan kami berharap terdapat lebih banyak perjanjian perdagangan berkualiti tinggi khususnya dalam bidang digital,” katanya. - DagangNews.com