Lazada, NGO bekerjasama sumbang Pakej Raya kepada 3,000 golongan memerlukan | DagangNews Skip to main content

Lazada, NGO bekerjasama sumbang Pakej Raya kepada 3,000 golongan memerlukan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 31 Mac - Lazada berkerjasama dengan Islamic Relief Malaysia dan MyFundAction menerusi kempen derma amal dan inisiatif impak sosial, ‘Membeli Untuk Memberi’, yang akan berlangsung hingga 21 April 2023 sempena Ramadan.

 

Lazada dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya akan mendermakan kepada tabung dana amal Islamic Relief Malaysia dan MyFundAction menerusi setiap pesanan lengkap di platform Lazada. 

 

"Dana tersebut membolehkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengagihkan set ‘Pakej Raya’ yang mengandungi beras, gula, makanan dalam tin, produk kebersihan dan beberapa keperluan asas lain kepada lebih 3,000 penerima di seluruh Malaysia.

 

"Sumbangan tersebut termasuklah komuniti yang memerlukan di Projek Perumahan Rakyat (PPR), rumah jagaan prihatin dan rumah anak yatim," katanya,

 

Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Alan Chan berkata, pihaknya yakin bahawa teknologi mempunyai kekuatan untuk menambah nilai dan mencipta impak positif bagi membantu komuniti setempat. 

 

Justeru itu katanya, Membeli Untuk Memberi berhasrat untuk memberikan inspirasi ke arah amalan seperti bersedekah, bermurah hati dan beramal baik menerusi cara dan langkah semudah membeli-belah di platform Lazada.

 

"Lantaran rakyat Malaysia sedang sibuk membuat persiapan raya, Lazada ingin memudahkan para pelanggan dengan menawarkan pelbagai promosi untuk produk seperti baju raya, barangan runcit, gajet digital, barangan elektrik dan elektronik, produk kelengkapan rumah untuk menghias kediaman menjelang Hari Raya, serta keperluan balik kampung. 

 

 

lazada

 

 

"Ia diharapkan dapat memudahkan proses membeli-belah dalam talian dan membolehkan para pelanggan untuk berjimat menerusi pembelian pada harga yang berbaloi, di samping menyumbang kepada inisiatif amal tersebut," katanya.

 

Terdahulu, Lazada menyampaikan set Pakej Raya kepada 60 penerima pada majlis penyampaian sumbangan kempen Membeli Untuk Memberi semalam.

 

Di samping itu, van dan lori Lazada Logistik juga telah dimobilisasikan ke seluruh negara untuk menghantar bantuan Pakej Raya kepada penerima sumbangan di Kuantan, Kajang, Nilai dan Puchong pada Mac. 

 

Manakala pada April, sumbangan akan disampaikan kepada komuniti memerlukan di Tanah Merah, Batu Pahat, Segamat, Kuala Nerang, Melaka, Teluk Panglima Garang, Klang, Beranang, Lembah Subang, Shah Alam, Gombak, Setapak, Pandan Perdana, Titiwangsa, Kota Kinabalu, Keningau, Kundasang, Semporna dan beberapa lagi daerah.

 

Menerusi kempen Membeli Untuk Memberi, Lazada berhasrat untuk membantu seramai mungkin komuniti yang memerlukan dan ia pasti mampu direalisasikan dengan sokongan serta penglibatan para pelanggan yang bermurah hati menyumbang ke arah insiatif impak sosial dan derma amal tersebut. - DagangNews.com