Lazada Malaysia sumbang RM50,000 bantu mangsa banjir di Kelantan | DagangNews Skip to main content

Lazada Malaysia sumbang RM50,000 bantu mangsa banjir di Kelantan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Jan - Lazada Malaysia menerusi inisiatif impak sosial 'Lazada Teman You' menyumbang sebanyak RM50,000 untuk membantu mangsa banjir di Kelantan.

 

Sumbangan pasca-banjir itu meliputi barangan keperluan asas seperti beras, makanan dalam tin, minyak masak, lampin pakai buang dan pelbagai keperluan lain.

 

Sumbangan tersebut telah diagihkan kepada keluarga di daerah Pasir Puteh dan Bachok oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, yang disertai  Naib Presiden Eksekutif Ketua Pertumbuhan Pengguna dan Trafik Lazada Malaysia, Rick Ting.

 

Rick berkata, inisiatif bantuan banjir Lazada Teman You adalah selaras dengan fokus 'Memperkasakan Komuniti' sebagai salah satu teras utama amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) Lazada. 

 

“Banjir musim tengkujuh telah reda sedikit, namun impak banjir masih ketara.

 

"Inisiatif ini diharapkan dapat menyumbang ke arah usaha pemulihan pasca-banjir, khususnya bagi keluarga yang bertungkus lumus membina semula kehidupan mereka ekoran kehilangan dan kerosakan teruk harta benda," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Lazada Teman You merupakan kutipan derma amal yang digerakkan bersama Bulan Sabit Merah Malaysia demi mengumpul dana sebanyak RM100,000 bagi membantu pengagihan barangan keperluan asas kepada komuniti di daerah dilanda banjir, khususnya di Kelantan dan Johor. 

 

Lazada turut memadankan sumbangan tersebut dengan dana tambahan sebanyak RM100,000 bagi membantu para penerima sumbangan.

 

 

lazada

 

 

Orang ramai yang ingin membuat sumbangan amal secara selamat dan terjamin bagi membantu komuniti yang terjejas dengan banjir boleh menderma sehingga 31 Januari 2023, dengan mengikuti langkah tersebut:

 

●    Pergi ke aplikasi Lazada Malaysia.

 


●    Taip ‘Lazada Teman You’ di ruangan carian di bahagian atas aplikasi tersebut.

 


●    Pilih jumlah derma yang ingin disumbangkan, sama ada RM1, RM5, RM10, RM30, RM50 atau RM100.

 


●    Klik ‘Beli Sekarang’ untuk menderma.

 

Untuk maklumat lanjut mengenai usaha bantuan banjir Lazada Teman You, layari https://lzd.co/LazadaMYTemanYou. - DagangNews.com