Lebih 1,100 profesional, pelabur, pengarah dijangka sertai Minggu Tadbir Urus Korporat 2022 anjuran SIAS | DagangNews Skip to main content

Lebih 1,100 profesional, pelabur, pengarah dijangka sertai Minggu Tadbir Urus Korporat 2022 anjuran SIAS

Trend dan strategi untuk mengurus perubahan iklim, risiko ESG, dan gangguan rantaian bekalan melalui pelaksanaan prinsip tadbir urus korporat yang baik.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 5 Okt – Securities Investors Association (Singapore) atau SIAS, penyokong tegar ketelusan korporat dan amalan industri progresif demi perlindungan kepentingan pemegang saham, akan melancarkan Minggu Tadbir Urus Korporat (CG Week 2022) melalui program hibrid secara fizikal dan digital.

 

Dengan pembukaan semula ekonomi, acara tahun ini akan diadakan secara hibrid buat julung kalinya sejak dua tahun yang lalu mulai 7-14 Oktober 2022.

 

Webinar secara langsung akan diterajui oleh pelbagai kumpulan pemimpin pemikiran global dan pengamal terkemuka dalam bidang berkenaan dari Asia-Pasifik, United Kingdom, dan Eropah.

 

Pengasas, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SIAS, David Gerald berkata, bahawa dunia perniagaan sedang mengalami skala gangguan yang tidak pernah dialami sebelum ini akibat implikasi daripada krisis Rusia-Ukraine dan pandemik COVID-19 yang berterusan.

 

Oleh sebab itu kata beliau, syarikat dan perniagaan terpaksa menyesuaikan diri dalam jangka masa yang sangat singkat di tengah-tengah ketidaktentuan makro ini.

 

Ketika wujudnya gangguan seperti ini ujarnya, tadbir urus korporat memainkan perangan yang sangat penting kerana keputusan yang dibuat oleh perniagaan di bawah syarat-syarat yang terang dan tegas adalah keputusan yang benar-benar memanfaatkan demi perlindungan jangka panjang pemegang saham.

 

“Kami juga percaya bahawa gangguan seperti ini boleh menghasilkan peluang. Ia dapat memberi kami kesempatan untuk menilai semula cara kami melakukan sesuatu benda dan menyemak semula jika terdapat cara yang lebih baik untuk melakukannya, sama ada untuk menjadikan rantaian bekalan kami lebih berdaya tahan atau menjajarkan perniagaan kami untuk lebih rapat dengan matlamat ESG kami.

 

“Memandang ke hadapan, akan ada banyak lagi gangguan di hadapan kita. Itulah sebabnya topik untuk simposium tahun ini sangat tepat dengan situasi semasa. Ia membolehkan kami menilai pengalaman kami dan mengambil teladan daripadanya untuk membentuk masa depan yang lebih berdaya tahan, berpandukan prinsip tadbir urus korporat yang baik,” kata David dalam kenyataan di sini hari ini.

 

 

SIAS

 

 

Ceramah dan perbincangan untuk CG Week 2022, yang akan disampaikan dalam tiga persidangan dan empat forum, akan bermula pada 10 Oktober 2022 mengenai topik: ESG dan Kapitalisme Pihak Berkepentingan – Bagaimanakah pelabur memacu agenda ESG & apa yang perlu dilakukan oleh lembaga pengarah?

 

Persidangan ini akan menyaksikan penyertaan secara fizikal dan maya daripada lebih 100 syarikat dan 300 individu.

 

Satu siri pembentangan dan perbincangan panel yang menarik tentang Tadbir Urus Rantaian Bekalan, Semakan Prinsip Tadbir Urus Korporat OECD/G20, Laporan Integriti Perniagaan 2022, Kepelbagaian dan Prestasi, Peranan Juruaudit Dalaman untuk Menambahbaik Tadbir Uruan Korporat, dan Peranan ESG dalam Penambahbaikan Nilai Pemegang Saham akan diterangkan oleh pakar-pakar industri. Pendaftaran masih dibuka dan akan ditutup pada 3 Oktober 2022.

 

Perbincangan yang sangat topikal dan relevan mengenai Tadbir Urus Rantaian Bekalan: Memikirkan Semula Rantaian Bekalan untuk Memacu Pertumbuhan akan melihat secara mendalam tentang kemungkinan kegagalan dan cara untuk membina strategi dan keupayaan masa depan, dan perkembangan model rantaian bekalan untuk mengatasi gangguan rantaian bekalan sambil meningkatkan daya tahan jangka masa panjang.

 

Antara trend menarik yang menggariskan tema utama ESG dan kelestarian adalah fokus kepada impaknya terhadap prestasi dan peranan penting semakan semula Prinsip G20/OECD untuk mencapai objektif ekonomi yang lebih luas berkaitan dengan kestabilan kewangan, keyakinan pelabur, dan pembentukan modal dalam waktu krisis.

 

Barisan pakar industri juga akan membahaskan tentang tekanan di sekitar pengurusan perubahan iklim, gangguan rantaian bekalan dan risiko ESG lain yang mendorong kebangkitan perspektif baharu tentang cara beroperasi demi mencapai daya tahan yang lebih tinggi. ini akan dibahaskan secara mendalam semasa topik Memperkukuhkan Tadbir Urus Korporat – Semakan Prinsip Tadbir Urus Korporat OECD/G20.

 

Perbincangan panel tambahan yang mendalam mengenai topik seperti Laporan Integriti Perniagaan 2022, Kepelbagaian dan Prestasi, dan Peranan Juruaudit Dalaman dalam Peningkatan Tadbir Urus Korporat juga akan diadakan dari 11 - 14 Oktober 2022 oleh pengamal terkemuka.

 

Sesi ini akan diketuai oleh moderator termasuk Robson Lee, Penolong Setiausaha Kehormat SIAS dan Peguam Kanan Kewangan Korporat; Loh Uantchern, Naib Presiden SIAS dan Ketua Pegawai Eksekutif (Asia Pasifik) Black Sun; dan David Toh, Lembaga Gabenor IIA Singapura dan Pengerusi Jawatankuasa Kecil Tadbir Urus Korporat SIAS.

 

Untuk maklumat lanjut tentang program lain yang akan berlangsung semasa Minggu Tadbir Urus Korporat 2022 – termasuk Anugerah Pilihan Pelabur 2022, Forum Pelabur dan Persidangan Tadbir Urus Amal dan Bengkel Tadbir Urus – rujuk:

 

CG Week 2022 juga disokong oleh pelbagai badan profesional dan perdagangan, serta institusi dan syarikat terkemuka, termasuk:

  • Association of Chartered Certified Accountants (ACCA)
  • CFA Society Singapore;
  • CPA Australia;
  • Financial Markets Association of Singapore (FMAS);
  • The Institute of Internal Auditors Singapore (IIA);
  • The Institute of Singapore Chartered Accountants (ISCA);
  • Investment Management Association of Singapore (IMAS);
  • The Securities Association of Singapore (SAS);
  • The Institute of Internal Auditors Singapore (IIA).

 

Sila layari: https://sias.org.sg/cgweek2022/buytickets.php#ticket-corporategovernance untuk maklumat lanjut tentang Minggu Tadbir Urus Korporat 2022. - DagangNews.com