Lebih 300,000 pelajar di Asia Tenggara terima manfaat program Cashville Kidz Maybank | DagangNews Skip to main content

Lebih 300,000 pelajar di Asia Tenggara terima manfaat program Cashville Kidz Maybank

Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa (lima, kiri) dan Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia, Datuk Zanariah Zainal Abidin (tengah), bergambar bersama penerima anugerah pelajar terbaik pada Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Kewangan Serantau baru-baru ini. Turut kelihatan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli (kiri).
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Feb - Program celik kewangan, Cashville Kidz Maybank berjaya memberi manfaat dan impak positif kepada lebih 300,000 pelajar dengan 4,438 guru terlatih di ASEAN, sejak 11 tahun lalu program itu diperkenalkan.

 

Pada 2022, program tersebut berjaya menjangkau sebanyak 37,020 pelajar dan kira-kira 945 pendidik di lebih 113 sekolah.

 

Ketika tahun tersebut semakin pulih daripada pandemik, program telah menggandakan usahanya untuk meningkatkan tahap celik kewangan kepada 56.3%, dan melepasi sasaran awalnya untuk melibatkan lebih 28,000 pelajar.

 

Pengerusi Maybank dan Yayasan Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa berkata, setiap kanak-kanak harus diberi peluang sama untuk pendidikan kewangan berkualiti dan menggariskan kepentingan untuk kerajaan, korporat, sekolah serta unit keluarga demi memperjuangkan usaha ini secara mampan.

 

Katanya, pihaknya komited berkhidmat kepada masyarakat dengan menyediakan pengetahuan pengurusan wang yang betul bagi memastikan tiada sesiapa ketinggalan dalam aspek ini menerusi persekitaran yang cepat berubah. 

 

"Program ini menyokong segmen yang kurang mempunyai akses kepada kemudahan perbankan dan komuniti merentasi kawasan bandar, luar bandar di ASEAN serta akan terus memacu keterangkuman kewangan sejajar dengan tujuan penting Menginsankan Perkhidmatan Kewangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ketua Pegawai Kemampanan Maybank, Shahril Azuar Jimin pula berkata, program Cashville Kidz terus berkembang sejajar dengan keperluan pembelajaran futuristik. 

 

 

maybank

 

 

maybank

 

 

maybank

 

 

"Dengan modul pembelajaran diperbaharui untuk pelajar dan alat pengajaran terkini kepada pendidik dan ibu bapa, kami amat gembira dengan hasil program dan berharap  memperkukuhnya lagi demi manfaat kepada lebih ramai komuniti pada masa hadapan," katanya.

 

Pada tahun ini, Maybank turut menganjurkan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Kewangan Serantau buat julung kalinya.

 

Penganjuran tersebut bertujuan memberi penghormatan kepada para pendidik dan pelajar yang telah menunjukkan dedikasi serta usaha luar biasa dalam mempromosi dan mendukung kepentingannya di Asia Tenggara. - DagangNews.com