Lebtech terima kontrak pembangunan bernilai RM29.5 juta daripada Brighton Land | DagangNews Skip to main content

Lebtech terima kontrak pembangunan bernilai RM29.5 juta daripada Brighton Land

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Mac - Lebtech Berhad menerusi anak syarikatnya, Lebtech Construction Sdn. Bhd. menerima surat anugerah (LOA) daripada Brighton Land Sdn. Bhd. bagi menyiapkan projek pembangunan yang mengandungi 106 unit kediaman di Seksyen U13, Shah Alam.

 

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, projek bernilai RM29.5 juta itu perlu dibangunkan dalam tempoh 20 bulan.

 

"Kontrak berkenaan tidak akan memiliki kesan terhadap modal saham dan pegangan saham pemegang saham yang besar bagi Lebtech.

 

"Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan Lebtech bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, 31 Disember 2024 dan 31 Disember 2025," katanya.

 

Kumpulan itu berkata, tiada pengarah atau pemegang saham utama atau orang yang berkaitan dengan pengarah atau pemegang saham utama dan anak syarikatnya atau orang yang berkaitan dengannya mempunyai sebarang kepentingan, secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak.

 

Pengarah syarikat berpendapat bahawa kontrak itu adalah demi kepentingan terbaik kumpulan. - DagangNews.com