LTAT akan swastakan Boustead dengan nilai RM703 juta atau 85.5 sen sesaham | DagangNews Skip to main content

LTAT akan swastakan Boustead dengan nilai RM703 juta atau 85.5 sen sesaham

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Mac - Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan menswastakan Boustead Holding Berhad dengan nilai RM703 juta atau 85.5 sen sesaham.

 

LTAT telah mengeluarkan notis mengenai tawaran pengambilalihan secara sukarela bersyarat kepada Lembaga Pengarah Boustead untuk baki 823 juta saham dalam Boustead atau 40.58% yang tidak dipegang oleh LTAT.

 

Untuk makluman, Boustead merupakan anak syarikat LTAT dengan kumpulan itu memiliki saham sebanyak 59.42%.

 

Boustead merupakan konglomerat pelbagai dengan perniagaan teras  yang merangkumi sektor perladangan, hartanah, perindustrian, farmaseutikal, industri berat, perdagangan, kewangan dan pelaburan.

 

LTAT berkata, tawaran itu tidak besyarat pada tahap minimum penerimaan kerana mereka sudah sudah memegang lebih daripada 50% saham mengundi dalam Boustead.

 

Bagaimanapun tawaran itu adalah bersandarkan kepada kelulusan Menteri Kewangan atau syor Bank Negara Malaysia (BNM) atau kelulusan BNM dibawah Seksyen 87 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan Seksyen 99 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) untuk membenarkan pihak yang menawar memperoleh sehingga 100% kepentingan ekuiti Boustead.

 

Katanya, pengecualian BNM daripada mematuhi Seksyen 110 FSA dan Seksyen 122 IFSA berhubung dengan keperluan untuk LTAT dan/atau syarikat yang dinamakannya diluluskan sebagai syarikat pemegangan kewangan Affin Bank Berhad dan entiti berlesen yang berkaitan.

 

"Syarat-syarat ini mestilah dipenuhi dalam tempoh 21 hari selepas tarikh tutup pertama, seperti yang ditetapkan dalam Peraturan Pengambilalihan, Percantuman dan Pengambilalihan Wajib yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

 

"Tawaran tersebut merupakan langkah signifikan bagi LTAT dalam pengambilalihan Boustead yang membolehkan fleksibiliti untuk melaksanakan pelan pemulihan kumpulan itu bagi memastikan kemampanan tabung untuk Angkatan Tentera serta pesara tentera, selaras dengan pelan transformasi LTAT yang sedang dilaksanakan," katanya.

 

Dalam pada itu, LTAT pada masa ini tidak mempunyai sebarang rancangan untuk memberhentikan atau menstruktur semula pekerja Boustead sebagai akibat langsung daripada tawaran tersebut.

 

"Tawaran itu bukanlah tawaran mandatori daripada LTAT untuk memperoleh semua baki saham mengundi dalam Affin Bank Berhad, Boustead Plantations Berhad, Boustead Heavy Industries Corporation Berhad dan Pharmaniaga Berhad yang belum lagi dipegang oleh LTAT secara langsung atau tidak langsung. 

 

"Ia kerana LTAT mempunyai kawalan berkanun terhadap Boustead," katanya. - DagangNews.com