MAHB catat 6.8 juta penumpang domestik tertinggi pada Disember 2022 | DagangNews Skip to main content

MAHB catat 6.8 juta penumpang domestik tertinggi pada Disember 2022

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Jan - Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mencatatkan rekod tertinggi sebanyak 6.8 juta penumpang pada Disember 2022 untuk operasi kumpulan di negara ini.

 

MAHB dalam satu kenyataan berkata, musim cuti akhir tahun telah menyumbang kepada peningkatan ketara sebanyak 31% daripada bulan sebelumnya dan membolehkan kumpulan mencapai 50% daripada tahap 2019 untuk operasi Malaysia. 

 

Katanya, daripada 6.8 juta, 2.9 juta adalah penumpang antarabangsa, yang tertinggi direkodkan setakat ini sejak sempadan dibuka semula pada April dan 3.9 juta adalah penumpang domestik, meningkat 33% daripada November 2022.

 

"Antara lima lapangan terbang antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu mencatatkan peningkatan penumpang tertinggi masing-masing pada 51% dan 39%. 

 

"Pertumbuhan trafik penumpang Malaysia adalah sejajar dengan peningkatan 10% yang dicatatkan bagi jumlah pergerakan pesawat pada Disember pada 56,645 berbanding November," katanya.

 

MAHB berkata, kumpulan mencatatkan sebanyak 52.7 juta penumpang pada 2022 untuk rangkaian lapangan terbang tempatannya.

 

Katanya, momentum pemulihan pergerakan penumpang domestik berterusan pada 2022 selepas penarikan balik larangan perjalanan rentas negeri pada 11 Oktober 2021, mencatatkan 36.2 juta penumpang, mencecah 69.6% daripada paras 2019. 

 

Jelas kenyataan itu, jumlah penumpang antarabangsa merekodkan sejumlah 16.5 juta penumpang hasil daripada 17 syarikat penerbangan yang menyambung semula perkhidmatan ke 32 bandar raya dengan trafik tertinggi ke destinasi di Thailand, Indonesia, Filipina, Korea Selatan, Vietnam dan India.

 

Selain itu katanya, pertumbuhan tahunan dalam pergerakan penumpang juga disokong oleh pengenalan laluan baharu oleh 27 syarikat penerbangan ke 38 bandar raya. 

 

"Antara bandar dengan pertumbuhan tertinggi pada 2022 berbanding 2021 ialah Denpasar-Bali, Lahore, Ujung Padang, Male, Brisbane, Bangkok, Perth, Phuket, Batam dan Bangalore," katanya.

 

Secara keseluruhan katanya, 59 syarikat penerbangan mengendalikan penerbangan ke 84 destinasi antarabangsa dan 35 domestik tahun lepas, berbanding 48 syarikat penerbangan kepada 51 penerbangan antarabangsa dan 32 destinasi domestik pada tahun sebelumnya.

 

Dalam pada itu, aset MAHB di Turkiye, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen merekodkan 2.7 juta penumpang pada Disember, menyumbang kepada sejumlah 31.2 juta penumpang untuk 2022, mencecah 86.7% daripada paras tahunan 2019. 

 

Jelasnya, jumlah pergerakan penumpang antarabangsa pada 2022 melepasi paras tahunan 2019 dengan pertumbuhan 10.4% berbanding 2019, manakala pergerakan penumpang domestik merekodkan 15.5 juta penumpang, mencecah 71.2% daripada paras tahunan 2019. 

 

Tambahnya, pergerakan pesawat antarabangsa Istanbul SGIA mencatatkan pertumbuhan 48.1% berbanding 2021 manakala pergerakan pesawat domestik mencatatkan sedikit penurunan apabila syarikat penerbangan menyusun semula pengembangan rangkaian mereka ke sektor antarabangsa. - DagangNews.com