Malacca Securities ‘potong’ 5.5% unjuran pendapatan FY23 UOA REIT akibat cabaran persekitaran operasi | DagangNews Skip to main content

Malacca Securities ‘potong’ 5.5% unjuran pendapatan FY23 UOA REIT akibat cabaran persekitaran operasi

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Mac - Malacca Securities mengurangkan mengunjurkan pendapatan UOA Real Estate Investment Trust (REIT) sebanyak 5.5% bagi tahun kewangan 2023 berikutan persekitaran operasi yang mencabar.

 

Pendapatan UOA REIT bagi tahun kewangan 2022 (FY22) menyusut secara sederhana, terutamanya disebabkan oleh kadar penghunian hartanah yang lebih rendah disebabkan pelepasan berbilang penyewa apabila tamat tempoh penyewaan, penyusutan purata kadar penghunian kepada 80.3% daripada 81.5% tahun ke tahun (YoY).

 

Kadar penghunian ruang pejabat di bandar Kuala Lumpur kian pulih dengan perlahan kepada 67.5% pada separuh kedua tahun kewangan 2022 (2HFY22) berbanding 67.2% separuh pertama tahun kewangan 2022 (1HFY22), menurut firma itu memetik Knight Frank, syarikat perundingan hartanah bebas di Malaysia.

 

Firma itu berkata, aktiviti penyewaan UOA REIT mungkin akan meningkat secara perlahan dan beransur-ansur ke tahap pra-pandemik berikutan pasaran kekal berhati-hati di kala persekitaran operasi yang mencabar.

 

Knight Frank berkata purata kadar sewa ruang pejabat di Kuala Lumpur mengalami tekanan penyusutan, mencatatkan RM6.41 setiap kaki persegi sebulan pada 2HFY22 berbanding RM6.43 pada 1HFY22, di mana firma itu menjangkakan kadar sewa mendatar selepas pembaharuan penyewaan syarikat itu memandangkan lokasi strategik hartanah portfolionnya.

 

Pasaran pejabat di Kuala Lumpur akan beransur menyebabkan bekalan mengatasi permintaan berikutan tambahan ruang pejabat 5.5 meter kaki persegi yang dijadualkan siap menjelang akhir 2023 dan peralihan cara bekerja dalam persekitaran pasca pandemik,” Katanya.

 

“Beberapa faktor seperti kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 2.75% pada 3 November 2022, kenaikan tarif elektrik, kenaikan gaji minimum serta potensi peningkatan perbelanjaan operasi hartanah dalam persekitaran inflasi mungkin terus mempengaruhi margin UOA REIT,” ulas firma itu.

 

Inisiatif peningkatan aset seperti kerja ubah suai di UOA Center dan UOA Damansara terus memainkan peranan penting dalam strategi operasi syarikat untuk meningkatkan daya saing pasaran bangunan, di mana ia mampu mengekalkan penyewa dan menarik penyewa baharu.

 

Pada FY22, UOAR telah menyelesaikan kerja-kerja pengubahsuaian untuk beberapa unit yang kosong dan sebahagiannya dipasang dalam UOA Centre Parcels dan UOA Damansara Parcels. Kumpulan itu juga menyasarkan untuk menyelesaikan pengubahsuaian medan selera yang terletak di UOA II Parcels menjelang FY23 yang telah dimulakan pada FY22.

 

Mengambil kira kadar penghunian perlahan dan potensi margin yang rendah dalam persekitaran inflasi, firma itu mengurangkan unjuran pendapatan FY23-FY25 sebanyak 5.5%, 7.6% dan 5.7% kepada RM61.5 juta, RM62.1 juta dan RM63.3 juta masing-masing.

 

“Namun, kami terus menyukai portfolio hartanah UOA REIT yang terletak di lokasi strategik, ditambah Hak Penolakan Pertama ke atas aset pelaburan UOA Development Bhd,” katanya.

 

Malacca Securities mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) dikurangkan kepada RM1.27 daripada RM1.35. -DagangNews.com