Malaysia tidak berdepan krisis ekonomi walaupun dilanda cabaran faktor luaran - Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

Malaysia tidak berdepan krisis ekonomi walaupun dilanda cabaran faktor luaran - Tengku Zafrul

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 Okt - Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan Malaysia tidak berdepan atau menuju ke arah sebarang krisis ekonomi atau kewangan walaupun kini dilanda beberapa cabaran yang berpunca daripada faktor luaran di luar kawalan kerajaan.

 

Beliau berkata, keadaan ekonomi negara sekarang jauh berbeza dengan pelbagai pembaharuan ekonomi dan kewangan yang dilaksanakan kerajaan berikutan krisis kewangan Asia pada 1997 dan 1998.

 

Jelasnya, seperti struktur ekonomi domestik yang lebih pelbagai, disokong oleh sistem kewangan bermodal baik dan kedudukan luaran yang kukuh.

 

"Sebagai contoh, pasaran kewangan negara sekarang sangat terbuka dengan penyertaan pelabur asing yang tinggi, dan kita mempunyai lebihan akaun semasa, didorong oleh eksport yang pelbagai.

 

"Setakat tahun ini, akaun semasa kekal positif dengan jumlah RM3 bilion pada suku pertama dan RM4.4 bilion pada suku kedua," katanya pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri ketika persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

 

Beliau menjawab soalan asal Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang meminta menteri menyatakan sama ada satu krisis kewangan sedang terbentuk berikutan penyusutan nilai ringgit berbanding dolar AS, kadar inflasi yang kian genting serta hutang Kerajaan Persekutuan yang kian meruncing.

 

Sementara itu, Tengku Zafrul turut menjawab soalan tambahan Wong mengenai langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan menerusi Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menangani risiko melibatkan pertukaran asing.

 

 

zafrul
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

 

 

Menurut Tengku Zafrul, BNM telah mengambil langkah-langkah tersebut, antaranya menggunakan instrumen dasar operasi bagi memastikan keadaan yang teratur dalam pasaran pertukaran asing.

 

"Walaupun BNM tidak menyasarkan sebarang paras kadar pertukaran, BNM berusaha agar tidak berlaku perubahan secara drastik atau melampau dalam nilai ringgit. Tindakan ini akan membantu perniagaan merancang, serta melaksanakan keputusan perniagaan dan pelaburan dengan lebih baik.

 

"Langkah kedua, memastikan institusi perbankan dan syarikat korporat di Malaysia mengambil langkah-langkah kehematan dalam menghadapi risiko pertukaran asing dan melindungi ringgit daripada aktiviti spekulatif.

 

"Langkah ini dapat mengurangkan risiko perubahan kadar ringgit yang berlebihan. Sebagai contoh, BNM telah memperkenalkan instrumen pelindung nilai seperti dynamic hedging bagi menyediakan fleksibiliti agar peserta pasaran kewangan dan sektor perniagaan boleh melaksanakan pengurusan risiko pendedahan mata wang asing dengan lebih baik. 

 

"Selain itu, sebahagian besar hutang luar negeri syarikat adalah dalam bentuk pinjaman antara syarikat berkaitan serta kredit perdagangan. Pinjaman ini secara umumnya dikenakan syarat yang fleksibel dan pada kadar konsesi atau disokong oleh perolehan eksport mata wang asing," katanya.

 

Beliau berkata, langkah ketiga meliputi pelaksanaan beberapa inisiatif untuk meningkatkan akses dan menarik pelabur asing dalam pasaran bon domestik, termasuk usaha menambah baik mudah tunai bon pasaran sekunder serta memperkukuh struktur dan mudah tunai pasaran pertukaran asing.

 

"Jumlah urus niaga pertukaran asing harian tempatan terus meningkat hingga mencapai purata AS$13.3 bilion  setakat ini, berbanding AS$11.3 bilion pada 2021 berikutan aliran pertukaran dua hala," katanya.

 

Katanya, kerajaan juga akan kekal terus menggiatkan usaha untuk mengukuhkan sentimen pelabur asing terhadap Malaysia menerusi pelaksanaan dasar-dasar yang berupaya meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik. 

 

"Sebagai contoh, kerajaan telah meningkatkan tumpuan untuk menggalakkan pelaburan ke dalam industri membangun (contohnya industri digital) dan melaksanakan rangka kerja Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi. Risiko berkaitan hutang luar korporat juga kekal terurus. 

 

"Selain itu, penerapan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) diutamakan bagi memastikan Malaysia terus berdaya saing di peringkat global. - DagangNews.com