Mamee Monster perkenal pek bungkusan versi retro edisi terhad | DagangNews Skip to main content

Mamee Monster perkenal pek bungkusan versi retro edisi terhad

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Mac - Snek mi tempatan terkenal dan digemari ramai, Mamee Monster kini mengimbau nostalgia zaman kanak-kanak dengan membawakan kembali pek bungkusan Mamee Monster berwarna biru versi 1970-an. 

 

Rakyat Malaysia boleh melihat ikon Mamee Monster biru yang terkenal itu dalam bentuk 2D retro pada pek keluarga Mamee Monster berwarna kuning terang yang boleh didapati di Malaysia dan Singapura mulai Mac 2023 untuk tempoh terhad. 

 

Pelekat koleksi turut disertakan dalam bungkusan tersebut, seperti mana Mamee Monster pada satu masa dulu memasukkan cenderahati misteri dalam pek. 

 

Bungkusan edisi terhad dengan sentuhan zaman dulu ini dilancarkan sebagai tanda penghormatan kepada Pengasas dan Pengerusi Eksekutif MAMEE-Double Decker, mendiang Datuk Pang Chin Hin yang meninggal dunia pada November 2022. 

 

Ketua Pegawai Pemasaran MAMEE-Double Decker, How Yuan Yi berkata, Mamee Monster telah menjadi snek pilihan utama zaman kanak-kanak yang membawa keceriaan selama berdekad, sama ada dinikmati sebagai snek di rumah, sekolah, parti atau dalam perjalanan. 

 

"Kita perlu mengucapkan terima kasih kepada mendiang Pang kerana memperkenalkan produk ini dan kempen Retro Mamee Monster ialah cara kami memberi penghormatan dan meraikan perjalanan hidup, daya kreativiti dan pelbagai sumbangannya.

 

“Mamee Monster adalah salah satu daripada hasil ciptaan sulung Pang dan beliau juga mencipta snek lain yang mengukir kenangan manis pada zaman kanak-kanak kita seperti keropok udang Double Decker, Mister Potato dan snek jagung Corntoz. 

 

 

mamee

 

 

"Kami berharap kempen Retro Mamee Monster ini akan memberi peluang kepada pengguna untuk menghidupkan semula detik-detik manis zaman kanak-kanak mereka. Malah, kami ingin mengembalikan kenangan indah ini untuk dikongsi dengan semua dan kami juga akan memberi ganjaran kepada pengguna," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, para penggemar Mamee Monster boleh memenangi hadiah wang tunai dan barangan eksklusif dari sekarang hingga 29 Mac 2023. 

 

Untuk melayakkan diri menyertai peraduan, pengguna perlu membuat pembelian minimum satu pek keluarga Retro Mamee Monster dan mengikuti akaun Mamee Monster di Instagram (www.instagram.com/iammameemonster). 

 

Peserta perlu mengambil dan memaparkan gambar kreatif mereka menikmati pek keluarga Retro Mamee Monster berserta keterangan gambar mengenai detik Mamee Monster kegemaran mereka itu di Instagram dengan hashtag #MameeMonsterWorldofNowstalgia dan tag akaun @iammameemonster. 

 

Peraduan ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas. Pihak Mamee Monster akan memilih 80 pemenang peraduan mingguan untuk empat minggu peraduan, setiap pemenang akan menerima wang tunai RM200, kemeja-t dan beg galas Retro Mamee Monster edisi terhad. - DagangNews.com