Martabak sotong dan kerang jadi tarikan di Bazar Ramadan Gong Badak, Terengganu | DagangNews Skip to main content

Martabak sotong dan kerang jadi tarikan di Bazar Ramadan Gong Badak, Terengganu

Asnita (kiri) bersama pekerjanya menunjukkan martabak sotong dan kerang yang dijualnya di Bazar Ramadan Gong Badak, Terengganu. - Gambar DagangNews2023
oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA NERUS 28 Mac - Setiap kali tibanya Ramadan, pasti gerai jualan martabak milik Asnita Mat Zain di Gong Badak menjadi tumpuan ramai kerana ia satu-satunya gerai yang menjual martabak sotong dan kerang di Terengganu.

 

Sejak berniaga tujuh tahun lalu, dua menu tersebut sentiasa mendapat sambutan hangat dari peminatnya yang tersendiri.

 

Asnita, 32, berkata, idea menjual martabak menggunakan sotong dan kerang sebagai inti adalah kerana mahukan kelainan memandangkan ayam dan daging sudah terlalu banyak di pasaran.

 

Menurutnya, setelah mencuba beberapa kali sukatan bancuhan yang sesuai untuk selera penduduk Terengganu, akhirnya dia berjaya menghasilkan resipi yang menerima sambutan memberangsangkan dari pelanggan.

 

"Gabungan rasa pedas, manis dan rangup dari sotong dan kerang itu menyebabkan ramai yang menyukainya untuk dijadikan juadah berbuka puasa.


 

asnita
Asnita menebar sendiri martabak untuk dijual sepanjang Ramadan tahun ini.

 


"Bagaimanapun, saya hanya menyediakan 60 keping martabak sotong dan kerang setiap hari sepanjang Ramadan kerana mahu mengekalkan ia sebagai menu ekslusif di gerai jualan.

 

"Martabak inti lain iaitu daging dan ayam pula terjual kira-kira 350 keping setiap hari kerana ia memang kegemaran ramai sepanjang masa," katanya ketika ditemui DagangNews.com di tapak Bazar Ramadan Gong Badak di sini, semalam.

 

Harga martabak sotong dan kerang itu dijual RM6 sekeping manakala harga martabak ayam dan daging pula ialah RM5 sahaja.


 

parafrasa

 


Ditanya cabaran untuk menjual dua menu tersebut pula, Asnita berkata, dia perlu memastikan stok sotong dan kerang itu adalah segar kerana ia akan mempengaruhi kelazatannya.

 

"Biasanya, pelanggan memang akan bertanya mengenai rasa dan keunikan martabak sotong dan kerang ini kerana tidak pernah menjumpainya di tempat lain.

 

"Ramai juga yang membelinya untuk mencuba rasa menu baharu ini berbanding ayam dan daging. Alhamdulillah, setelah menikmatinya sendiri, kebanyakan mereka akan menjadi pelanggan tetap di gerai jualan Bazar Ramadan ini setiap tahun," katanya.

 

Asnita yang mengusahakan perniagaan Kedai Warung Mok Kiter iaitu hidangan Thai pada bulan biasa juga mahu mencuba lebih banyak menu baharu sebagai inti dalam masa terdekat.

 

"Lain orang lain seleranya, jadi sebagai peniaga, saya perlu kreatif untuk sentiasa memperkenalkan menu baharu yang unik dan istimewa agar perniagaan ini lebih dikenali dan menjadi pilihan ramai," katanya. - DagangNews.com