Maxis agih 1,000 kotak makanan kepada mangsa terjejas banjir menerusi kerjasama KKD | DagangNews Skip to main content

Maxis agih 1,000 kotak makanan kepada mangsa terjejas banjir menerusi kerjasama KKD

Fahmi Fadzil menyampaikan sumbangan kepada salah seorang mangsa banjir di Johor, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Mac - Dalam usaha untuk membantu komuniti yang terjejas akibat banjir di Johor baru-baru ini, Maxis tampil bersama Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) untuk menyampaikan bantuan makanan keperluan sebagai sebahagian daripada Operasi Bantuan Pasca Banjir oleh kementerian. 

 

Maxis memperuntukkan sebanyak 1,000 kotak makanan untuk diagihkan kepada keluarga yang terjejas di lokasi-lokasi yang dikenal pasti oleh Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) di bawah KKD.

 

Pada majlis penyerahan yang diadakan di Dewanraya Kampung Sg Tiram baru-baru ini, Maxis menyertai Menteri KKD, Fahmi Fadzil untuk menyerahkan 200 kotak yang pertama kepada keluarga dari Kampung Sungai Tiram, Kampung Simpang Mados dan Kampung SC. 

 

Sukarelawan Maxis dari wilayah selatan telah membantu mengagihkan kotak makanan ke kawasan-kawasan tersebut bersama-sama dengan Japen.

 

Fahmi berkata, pihak kementerian komited untuk terus menyalurkan usaha-usaha bantuan kepada Johor, yang mana terdapat banyak keluarga yang sangat memerlukan bantuan termasuk barangan makanan keperluan. 

 

"Sebagai rakyat Malaysia, kita mempunyai tanggungjawab untuk membantu satu sama lain pada masa yang memerlukan, dan saya menghargai usaha syarikat-syarikat korporat seperti Maxis menyokong operasi bantuan kami," katanya dalam kenyataan.

 

Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis, Mariam Bevi Batcha pula berkata, pihaknya menghargai usaha kementerian dalam memacu inisiatif penting untuk kebajikan rakyat. 

 

 

maxis

 

 

"Dengan begitu ramai yang kehilangan tempat tinggal dan sumber pendapatan yang terjejas, kami komited untuk memainkan peranan dengan kerjasama kementerian untuk meringankan beban mereka yang terkesan," katanya.

 

Sementara itu, jurutera Maxis terus memantau prestasi rangkaiannya di kawasan yang terjejas dan telah mengambil inisiatif untuk memulihkan perkhidmatan jika diperlukan bagi mengurangkan gangguan sambungan. 

 

Ini termasuk penggunaan set penjana mudah alih yang mana terdapat gangguan elektrik, penggantian peralatan yang rosak akibat tapak yang tenggelam dan pemasangan WiFi percuma di beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Johor dan Pahang. 

 

Bagi kawasan yang tidak boleh diakses kerana risiko keselamatan, dron digunakan untuk penilaian udara sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan tapaknya. - DagangNews.com