McDonald's Malaysia, Yayasan Didik Negara sumbang bantuan persekolahan kepada 175 pelajar di Kuching | DagangNews Skip to main content

McDonald's Malaysia, Yayasan Didik Negara sumbang bantuan persekolahan kepada 175 pelajar di Kuching

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Feb - Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia dengan kerjasama Yayasan Didik Negara (YDN) menyampaikan sumbangan ‘Pek Kembali ke Sekolah’ kepada 175 pelajar sekolah rendah di sekitar Kuching, Sarawak.

 

Sumbangan tersebut diberikan kepada pelajar sekolah rendah yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan.

 

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, pihaknya berbesar hati kerana dapat menjayakan program Pek Kembali ke Sekolah di Bumi Kenyalang dan ini merupakan tahun keenam pelaksanaannya di seluruh negara. 

 

Beliau berkata, ia merupakan julung kali pihaknya menganjurkan majlis tersebut di luar Semenanjung Malaysia dengan harapan mendekati lebih ramai kanak-kanak yang memerlukan. 

 

"Semoga sumbangan hari ini mampu menyuntik semangat untuk anak-anak muda ini, sekaligus membolehkan mereka menjadi insan yang berjaya pada masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, majlis penyampaian sumbangan tersebut dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Sekolah Kebangsaan Madrasah Datuk Hj Abdul Kadir Hasan, Kuching.

 

Azmir yang juga Presiden RMHC Malaysia berkata, pada tahun lepas pihaknya memperuntukkan sejumlah RM1.5 juta bagi penyediaan Pek Kembali ke Sekolah yang akan memanfaatkan kira-kira 25,000 pelajar sekolah rendah daripada keluarga kurang berkemampuan di seluruh negara.

 

 

mcd

 

 

"Bantuan tersebut akan disalurkan secara berperingkat sebelum sesi persekolahan bermula pada Mac ini," katanya. - DagangNews.com