MEASAT, Parcel365 teroka potensi ekonomi digital kawasan luar bandar  | DagangNews Skip to main content

MEASAT, Parcel365 teroka potensi ekonomi digital kawasan luar bandar 

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Jan - MEASAT Global Berhad menjalin kerjasama dengan Parcel365 Sdn Bhd dan M2B Services Sdn Bhd menjayakan inisiatif Digital Village365 BAGI meningkatkan taraf hidup komuniti luar bandar serta merangsang aktiviti ekonomi digital dalam kalangan golongan B40.

 

Di bawah inisiatif Digital Village365, Parcel365 akan menawarkan perkhidmatan logistik dan e-dagang serta sesi latihan di lokasi-lokasi CONNECTme NOW bersesuaian yang dikenalpasti MEASAT. 

 

Menerusi perkhidmatan pengambilan dan peletakan kiriman di lokar pintar berasaskan aplikasi, penduduk luar bandar boleh mengatasi cabaran ketiadaan alamat lengkap untuk pengambilan serta penghantaran barangan kiriman di kampung-kampung terpencil. 

 

Selain itu, platform Shopla365 menawarkan platform sokongan dan penyelesaian perniagaan serta latihan untuk membantu penduduk kampung mengoptimumkan potensi ekonomi digital mereka. 

 

Perkhidmatan-perkhidmatan ini dipermudahkan menerusi hotspot WiFi CONNECTme NOW daripada MEASAT, yang dikuasai perkhidmatan jalur lebar satelit berkelajuan tinggi untuk membolehkan kegunaan berasaskan digital termasuk transaksi, komunikasi, latihan dan kegunaan lain yang relevan.

 

Ketua Pegawai Komersial MEASAT, Ganendra Selvaraj berkata, pihaknya mempunyai kepercayaan teguh terhadap kuasa ekonomi digital dan keupayaannya untuk meningkatkan taraf hidup komuniti luar bandar melalui penyediaan aliran pendapatan baharu yang mengoptimumkan produktiviti penduduknya seperti jualan produk makanan dan kraf yang unik. 

 

"Menerusi kerjasama dengan Parcel365, kami berharap untuk memperkenalkan penyelesaian logistik dan perniagaan kepada pelanggan CONNECTme NOW untuk membolehkan potensi e-dagang mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

MEASAT
Ketua Pegawai Operasi MEASAT, Yau Chyong Lim (kiri) dan Eddie Mok Yew Keong bergambar ketika sesi menandatangani memorandum persefahaman antara MEASAT dan Parcel365, baru-baru ini.

 

 

Pengasas Bersama dan Pengarah Parcel365, Eddie Mok Yew Keong pula berkata, pihaknya amat teruja menjalin kerjasama dengan MEASAT untuk memperluaskan inisiatif Digital Village365. 

 

Katanya, terdapat pelbagai produk unik boleh ditawarkan komuniti luar bandar di negara ini yang berbilang budaya. 

 

"Kerjasama dengan MEASAT akan memudahkan mereka mendekati pasaran lebih meluas dengan mempermudahkan hubungan logistik berasaskan internet," katanya.

 

Tambahnya, ia juga menyokong latihan bagi meningkatkan peluang penjenamaan, penyediaan keterhubungan internet, seterusnya memperkukuhkan mutu kehidupan di seluruh negara," katanya. - DagangNews.com