MGB raih kontrak RM2.89 billion di Arab Saudi | DagangNews Skip to main content

MGB raih kontrak RM2.89 billion di Arab Saudi

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Jan - MGB Berhad memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Sany Alameriah For Construction Co. Ltd. (SA) untuk pemasangan produk konkrit pratuang sistem bangunan industri (IBS) untuk 10,000 unit hartanah di bawah Program Sakani Kerajaan Arab Saudi bernilai 2.5 bilion Riyal Arab Saudi (RM2.89 bilion).

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kontrak itu juga adalah bagi mengendalikan kilang konkrit pratuang yang terletak di Jeddah dan membekalkan produk konkrit pratuang IBS untuk pembinaan.

 

"Projek itu adalah untuk tempoh lima tahun bermula 13 Januari 2023," katanya.

 

Menerusi perjanjian itu, MGB perlu mengurus dan mengendalikan kilang untuk pengeluaran dan/atau pembekalan produk konkrit pratuang untuk kegunaan berkaitan dengan pembinaan unit hartanah. 

 

Kontrak itu juga menetapkan, SA perlu bertanggungjawab untuk mendapatkan lesen, permit, pendaftaran dan/atau kelulusan daripada pihak berkuasa yang berkaitan dari semasa ke semasa.

 

"SA akan menyediakan MGB dengan setiap bantuan dan kerjasama yang diperlukan untuk membolehkan MGB mendapatkan pekerja asing ke Kerajaan Arab Saudi, termasuk mendapatkan sebarang lesen, permit, pendaftaran dan/atau kelulusan yang diperlukan oleh pihak berkuasa yang berkaitan dan/atau undang-undang yang berkaitan dengan atau untuk tujuan Operasi Pembuatan Konkrit Pratuang," katanya.

 

Perjanjian itu berkuat kuasa selama enam bulan dari 13 Januari 2023 melainkan kontrak itu diperbaharui dengan kelulusan kedua-dua pihak secara bertulis.

 

Perjanjian itu jua boleh ditamatkan sekiranya projek pembinaan itu tidak dilaksanakan dalam tempoh enam bermula dari tarikh ia berkuat kuasa atau persetujuan bersama kedua-dua pihak.

 

"Kedua-dua pihak mempunyai hak untuk menamatkan kontrak tanpa memberikan sebarang alasan dengan hanya menyediakan notis bertulis dalam tempoh sebulan kepada pihak satu lagi," katanya. - DagangNews.com