KUALA LUMPUR 11 Okt - Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd. (MHB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn. Bhd. (MMHE) memperoleh kontrak kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) daripada Sarawak Shell Bhd. (SSB).
Kontrak tersebut membabitkan pembinaan platform luar pesisir bagi projek gas Rosmari-Marjoram, di luar pantai Sarawak yang terdiri daripada bahagian atas platform, 'jacket' empat kaki dan cerucuk bernilai kurang daripada RM500 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Apabila pelantar itu siap yang dijangka mengambil masa selama 19 bulan, ia akan dipasang pada kedalaman air 140 meter di sekitar kawasan SK318, di luar pantai Bintulu.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MHB, Pandai Othmen berkata, projek tersebut menandakan perkongsian kukuh dan berkekalan kumpulan dengan SSB dalam beberapa tahun akan datang.
Katanya, ia menandakan permulaan pemulihan industri minyak dan gas di Malaysia yang telah lama terhalang akibat pandemik dan kelembapan ekonomi menyebabkan pemaju minyak dan gas lebih berhati-hati dalam perbelanjaan modal (capex) untuk pembangunan baharu.
"Selain daripada matlamat utama untuk menyiapkan projek ini dengan selamat dan tepat pada masanya, kami berbesar hati untuk menyatakan bahawa projek ini sejajar dengan komitmen kami dalam menyediakan penyelesaian tenaga yang lebih bersih melalui penggunaan tenaga boleh diperbaharui untuk menggerakkan platform.
"Kami telah pun memulakan perjalanan kemampanan dengan menyepadukan amalan mampan ke dalam perniagaan dan membuat keputusan untuk memastikan kami beroperasi secara bertanggungjawab," katanya.
Platform tanpa pemandu ini akan dikuasakan terutamanya oleh tenaga boleh diperbaharui di mana ia akan menggunakan kuasa daripada panel solar.
Dengan hayat reka bentuk selama 20 tahun, ia akan menampung sehingga 800 juta kaki padu gas standard setiap hari dengan permulaan disasarkan pada 2026 membekalkan gas asli ke Kompleks LNG Petronas di Bintulu, Sarawak.
Projek gas Rosmari-Marjoram kini diusahakan oleh SSB (Pengusaha Blok SK318) dan Petronas Carigali Sdn. Bhd. - DagangNews.com