MIDF Research positif terhadap pembelian 6 pasar raya Giant oleh Sunway REIT | DagangNews Skip to main content

MIDF Research positif terhadap pembelian 6 pasar raya Giant oleh Sunway REIT

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 17 Mac - MIDF Research positif terhadap cadangan pengambilalihan enam pasar raya Giant oleh Sunway Real Estate Investment Trust (REIT) untuk mengembangkan portfolio runcit.

 

Syarikat tersebut telah memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan Kwasa Properties Sdn Bhd, anak syarikat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semalam, untuk cadangan pengambilalihan enam pasar raya besar dengan jumlah pertimbangan tunai sebanyak RM520 juta dan dijangka selesai pada suku keempat tahun ini.

 

Enam hartanah tersebut pada masa ini disewa oleh GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd atas perjanjian pajakan induk tiga bersih.

 

Pasar raya Giant itu adalah Giant Hypermarket Bandar Kinrara, Giant Hypermarket Putra Heights, Giant Hypermarket USJ, Giant Hypermarket Klang, Giant Superstore Ulu Kelang dan Giant Hypermarket Plentong.

 

Menurut firma tersebut, jumlah pertimbangan RM520 juta adalah di bawah nilai pasaran RM593 juta justeru memberikan keuntungan nilai saksama bersih tidak direalisasi sebanyak RM66 juta selepas pengambilalihan selesai.

 

“Pengambilalihan itu adalah pendapatan dan pertumbuhan pengagihan seunit (DPU) kerana jumlah pendapatan hartanah bersih (NPI) hartanah berjumlah RM42 juta pada 2022 yang ditukarkan kepada hasil NPI menarik sebanyak 8.1% justeru pengambilalihan itu dijangka meningkatkan DPU sebanyak 0.53 sen,” kata firma penyelidikan itu dalam nota hari ini.

 

Menurut firma itu, Sunway REIT bercadang untuk membiayai pengambilalihan terutamanya melalui pinjaman bank dan penggearan bersihnya dijangka meningkat kepada 0.41x daripada 0.38x pada tahun kewangan 2022 (FY22)

 

Namun, firma itu berpendapat bahawa langkah untuk menormalkan hasil pelupusan Sunway Medical Center dijangka akan digunakan untuk mengurangkan pinjaman memandangkan cadangan pelupusan itu adalah sebanyak RM430 juta pada Disember 2022.

 

 “Kami mengekalkan saranan ‘beli’ kerana kami menjangkakan prospek pendapatan lebih baik untuk tahun kewangan 2023 (FY23), didorong oleh sumbangan daripada bahagian runcit dan hotel dan hasil pengagihan dianggarkan pada 5.8%,” katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) RM1.73 sementara menunggu pengambilalihan selesai. -DagangNews.com