Mohamad Salim Fatih Din dilantik sebagai Pengerusi MCMC baharu | DagangNews Skip to main content

Mohamad Salim Fatih Din dilantik sebagai Pengerusi MCMC baharu

Fahmi Fadzil (kanan) menyampaikan surat pelantikan kepada Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din di Putrajaya, 28 Februari 2023.

PUTRAJAYA 28 Feb – Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi tempoh dua tahun berkuatkuasa 1 Mac ini.

 

Mohamad Salim pernah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah MCMC serta Pengerusi Interim MCMC dari Jun 2022 sehingga Januari 2023.

 

Pelantikan Mohamad Salim itu, dimaklumkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil melalui akaun Facebook hari ini.

 

Fahmi dalam hantarannya itu berkata, diharapkan dengan pelantikan itu Mohamad Salim dapat mengatasi isu-isu prasarana komunikasi di kawasan penduduk yang masih belum mempunyai capaian internet.

 

“Saya percaya pelantikan beliau akan membantu ke arah usaha mengatasi isu-isu prasarana komunikasi termasuk bagi tiga peratus kawasan berpenduduk yang masih belum mempunyai capaian internet, bagi mengatasi kesenjangan digital dan memacu Malaysia ke arah ‘dekad digital keemasan’,” katanya di sini hari ini.

 

Tidak dinyatakan kedudukan Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain yang diumumkan sebagai Pengerusi Interim MCMC  berkuat kuasa 5 Januari lalu, selepas pengunduran Mohamad Salim ketika itu. - DagangNews.com