Mohammad Agus mula tugas sebagai Ketua Pengarah J-KOM | DagangNews Skip to main content

Mohammad Agus mula tugas sebagai Ketua Pengarah J-KOM

Mohammad Agus Yusoff

KUALA LUMPUR 2 Feb - Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohammad Agus Yusoff memulakan tugas secara rasmi hari ini.

 

Perkara itu dikongsikan menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini, lapor Bernama.

 

Beliau berkata, tanggungjawab besar itu diterima atas hasrat untuk bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan bagi membangunkan negara termasuk dari aspek siasah dan masyarakat.

 

"Dari segi siasah, adalah untuk menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat dengan maklumat yang betul dan tepat bagi memastikan rakyat memahami serta mendukung misi kerajaan dalam merealisasikan Malaysia Madani.

 

"Dari segi masyarakat, adalah untuk mendidik dan menyedarkan rakyat akan keperluan untuk saling menghormati dan bersatu supaya tidak ada lagi sikap ekstremisme agama dan kaum. Ya, perbezaan akan terus berlaku, namun yang penting kita mampu meraikan dan menerimanya dengan jiwa terbuka," katanya.

 

Mohammad Agus berkata, tiga teras utama J-KOM iaitu membudayakan ilmu, membudayakan masyarakat berkemahiran digital dan mengukuhkan semangat patriotik rakyat akan dilaksanakan mengikut acuan Malaysia Madani, seterusnya merealisasikan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia negara yang maju, harmoni, dan sejahtera.

 

"Saya lihat episod PRU15 telah memisahkan masyarakat kita. Pengaruh media sosial telah membawa banyak kesan negatif kepada hubungan antara kaum.

 

"Bagi memulihkan kembali keadaan ini, kami di J-KOM akan berusaha untuk mendidik masyarakat dengan ilmu pengetahuan dan tataetika yang betul supaya semangat patriotisme serta hubungan baik dan toleransi sesama rakyat akan kembali kuat dan subur," katanya.

 

Beliau berkata, J-KOM akan bekerjasama dengan seluruh agensi kerajaan, swasta, NGO, belia dan pemimpin masyarakat bagi tujuan tersebut. - DagangNews.com