MRT Laluan Putrajaya dijangka tarik 100,000 penumpang tahun ini - Rapid Rail | DagangNews Skip to main content

MRT Laluan Putrajaya dijangka tarik 100,000 penumpang tahun ini - Rapid Rail

Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menaiki tren MRT Laluan Putrajaya yang mula beroperasi pada 16 Mac 2023. - Gambar Facebook MRT Corp

PUTRAJAYA 17 Mac - Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya yang dibuka sepenuhnya semalam dijangka menarik 80,000 hingga 100,000 pengguna tahun ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Amir Hamdan berkata, jumlah penumpang akan meningkat selepas pembukaan sekolah pada 19 dan 20 Mac ini serta pengumuman tambang percuma selama dua minggu hingga 31 Mac.

 

"Kita melihat kebiasaan jumlah penumpang akan meningkat hari ke hari mengikut pengalaman pengguna yang berkongsi di media sosial sekali gus menggalakkan pengguna sekitar laluan Putrajaya menggunakan perkhidmatan itu," katanya.

 

Amir berkata laluan Putrajaya, yang merupakan jajaran terpanjang iaitu 57.7 kilometer, akan membantu mengurangkan kesesakan trafik terutama di lebuh raya berkaitan laluan Putrajaya.

 

Amir berkata, Rapid Bas Sdn Bhd menyediakan 118 bas bagi jajaran Putrajaya merangkumi 44 laluan, melibatkan 23 stesen yang menempatkan bas perantaraan, dengan kekerapan 15 minit.

 

Beliau berkata, laluan Putrajaya dijangka memanfaatkan populasi kira-kira dua juta dan peningkatan pengguna akan berlaku dari semasa ke semasa seperti pengalaman dengan MRT Kajang, lapor Bernama.

 

Sementara itu, Afizu Rajali, 48, berkata, pembukaan laluan Putrajaya memberi kelegaan kepadanya kerana diberi pilihan pengangkutan awam selain Grab dan memandu kereta sendiri.

 

 

MRT

 

 

"Lebuh raya sekitar Putrajaya seperti Maju Expressway semakin teruk lalu lintas. Dengan adanya MRT laluan Putrajaya ia memberi pilihan kepada pengguna," katanya yang menetap di Putrajaya dan akan menggunakan perkhidmatan MRT untuk ke pejabat di Cyberjaya.

 

Jess Lee, 60, berkata, beliau teruja setelah menunggu hampir 20 tahun untuk sistem pengangkutan di kawasan Cyberjaya dan Putrajaya.

 

"Saya balik dari London bercuti dan tinggal di Cyberjaya. Saya teruja Malaysia menambah baik sistem pengangkutan awamnya. Saya harap ia akan ditingkatkan lagi bagi menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam seperti di negara-negara maju,” katanya.

 

 

PM
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menaiki tren MRT Laluan Putrajaya sempena pelancarannya pada 16 Mac 2023. - Gambar Facebook Anwar Ibrahim

 

 

Pelajar, S. Yatesh, 19, berkata, MRT laluan Putrajaya itu memudahkan perjalanannya yang kini hanya perlu mengambil satu tren sahaja dari Sungai Besi untuk ke Kolej UNIKOP, Cyberjaya.

 

"Sebelum ini saya terpaksa bertukar dua jenis perkhidmatan iaitu Transit Aliran Ringan (LRT) dan KLIA Transit ke Cyberjaya. Sekarang ini satu tren sahaja pergi ke Sungai Besi," katanya. - DagangNews.com