OCK terus perkukuh penyertaan di peringkat global dengan menceburi sektor 5G di Laos | DagangNews Skip to main content

OCK terus perkukuh penyertaan di peringkat global dengan menceburi sektor 5G di Laos

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 5 Okt - OCK Group Bhd. memeterai perjanjian pemegang saham dengan Kementerian Kewangan Laos bagi mengembangkan penglibatannya dalam industri telekomunikasi di peringkat global. 

 

Menerusi perjanjian itu, OCK akan menubuhkan syarikat usaha sama yang dikenali sebagai OCK Laos TowerCo Co. Ltd. yang mana ia memiliki pegangan majoriti 70% manakala selebihnya dimiliki Kementerian Kewangan Laos.

 

Langkah itu membolehkan syarikat usaha sama berkenaan memohon lesen menara telekomunikasi di negara terbabit.

 

Pengarah Urusan OCK Group, Sam Ooi Chin Khoon berkata, kerjasama itu membolehkan kumpulan mengetengahkan perkhidmatan berkualiti ke bahagian lain di rantau Asia Tenggara dan seterusnya meningkatkan pengiktirafan jenama serta reputasinya di peringkat serantau.
 

Katanya, kumpulan sentiasa percaya kepada keperluan untuk mengembangkan perkhidmatan telekomunikasinya agar lebih sesuai dengan industri yang berkembang pesat dan permintaan berterusan untuk keterhubungan yang lebih baik.

 

"Memandangkan penyertaan kami tepat pada masanya, kami percaya dapat memanfaatkan industri 5G baharu di Laos.

 

"Adalah satu penghormatan kepada kami untuk bekerjasama dengan Kementerian Kewangan Laos untuk membawa keterhubungan yang berkualiti kepada penduduk di negara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

ock
Dr. Sonephet Inthavong dari Jabatan Pembaharuan dan Insurans Perusahaan Milik Negara yang mewakili Kementerian Kewangan Laos (dua dari kiri) bersama Pengarah Urusan OCK Group, Sam Ooi Chin Khoon (dua dari kanan) pada majlis menandatangani perjanjian pemegang saham antara kedua-dua pihak di Vientiane City, Laos.

 

 

Majlis menandatangani perjanjian itu telah diadakan di Vientiane City, Laos di mana OCK diwakili Chin Khoon dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, David Low Hock Keong manakala Laos diwakili oleh Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Pengawalseliaan Telekomunikasi Laos, Soudchay Lorlonesy dan Dr Sonephet Inthavong.

 

Ia disaksikan oleh Menteri Teknologi dan Komunikasi Laos, Prof. Dr. Borviengkham Vongdala dan Timbalan Menteri Kewangan, Bounpone Vannachith.

 

Penyedia penyelesaian rangkaian telekomunikasi terkemuka di Malaysia itu turut aktif mengembangkan kedudukannya dalam pasaran ekonomi baharu seperti Myanmar, Vietnam, Kemboja dan Indonesia.

 

Setakat ini, kumpulan berhasrat untuk menjadi salah satu syarikat menara telekomunikasi bebas di ASEAN yang terbesar dan pada masa ini mempunyai portfolio lebih daripada 5,000 menara telekomunikasi.

 

OCK juga telah berjaya menembusi dua pasaran menara telekomunikasi dengan pertumbuhan tinggi, di Myanmar dan Vietnam, dalam tempoh singkat 14 bulan. - DagangNews.com