OPEC : Malaysia kurangkan pengeluaran minyak kepada 567,000 tong sehari | DagangNews Skip to main content

OPEC : Malaysia kurangkan pengeluaran minyak kepada 567,000 tong sehari

KUALA LUMPUR 6 Okt - Malaysia akan mengurangkan pengeluaran minyak mentah hariannya sebanyak 27,000 tong kepada 567,000 tong, berdasarkan kenyataan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) bertarikh 5 Oktober 2022.

 

Pengurangan itu dilaksanakan di bawah pelan pengurangan pengeluaran kolektif sebanyak dua juta tong sehari oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) untuk meningkatkan panduan jangka panjang dalam pasaran minyak.

 

Menurut OPEC, negara-negara yang mengambil bahagian telah memutuskan untuk menyelaraskan pengeluaran keseluruhan dengan penurunan sebanyak dua juta tong sehari daripada tahap pengeluaran yang diperlukan pada Ogos 2022, bermula November ini untuk negara-negara peserta OPEC dan bukan OPEC.

 

"Ini memandangkan ketidaktentuan yang menyelubungi prospek ekonomi dan pasaran minyak global, dan keperluan untuk meningkatkan panduan jangka panjang untuk pasaran minyak.

 

"Ia juga selaras dengan pendekatan yang berjaya untuk menjadi proaktif dan bertindak lebih awal, yang telah diterima pakai secara konsisten oleh OPEC dan negara-negara peserta bukan OPEC dalam pengisytiharan kerjasama," katanya dalam kenyataan itu di laman webnya.

 

Malaysia adalah salah satu daripada 10 negara bukan OPEC yang mengambil bahagian, yang turut merangkumi Azerbaijan, Bahrain, Brunei, Kazakhstan, Mexico, Oman, Rusia, Sudan dan Sudan Selatan.

 

Sementara itu, 10 anggota OPEC terdiri daripada Algeria, Angola, Congo, Equatorial Guinea, Gabon, Iraq, Kuwait, Nigeria, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

 

Menurut kenyataan itu lagi, mesyuarat Menteri OPEC dan bukan OPEC ke-34 akan diadakan pada 4 Disember 2022. - DagangNews.com