Oppstar lengkapkan perjanjian taja jamin bersama Affin Hwang bagi terbitan IPO di Pasaran ACE | DagangNews Skip to main content

Oppstar lengkapkan perjanjian taja jamin bersama Affin Hwang bagi terbitan IPO di Pasaran ACE

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 2 Feb - Oppstar Berhad menandatangani perjanjian taja jamin dengan Affin Hwang Investment Bank Berhad (Affin Hwang IB) sempena tawaran awam permulaan (IPO) bagi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

IPO penyedia perkhidmatan reka bentuk litar bersepadu (IC) itu melibatkan terbitan awam sebanyak 165.48 juta saham baharu yang mewakili kira-kira 26% daripada modal syer terbitan yang dibesarkan sebanyak 636.2 juta saham semasa penyenaraian.

 

Daripada jumlah tersebut, Oppstar akan menawarkan 31.81 juta saham atau 5% daripada modal syer terbitannya untuk orang awam Malaysia, diikuti 22.27 juta saham (3.5%) untuk permohonan oleh pengarah, pekerja dan rakan perniagaan yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

 

Sementara itu, jumlah saham yang disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih adalah 31.88 juta saham (5%) manakala pelabur Bumiputera yang dikenal pasti diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia disediakan 79.53 juta saham (12.5%).

 

Affin Hwang IB merupakan penaja jamin tunggal bagi 54.1 juta saham yang disediakan untuk pemohonan dalam kalangan orang ramai serta pengarah, pekerja dan rakan perniagaan yang layak.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Oppstar, Ng Meng Thai berkata, perjanjian itu mendekatkan lagi langkah syarikat untuk menjadi entiti yang tersenarai di Bursa Malaysia.

 

“IPO akan membiayai perkembangan kami dan membolehkan orang ramai mengambil bahagian dalam pertumbuhan syarikat.

 

“Kami berhasrat untuk meningkatkan kehadiran kami dalam industri reka bentuk IC di rantau ini dan mewujudkan impak yang lebih besar pada rantaian bekalan semikonduktor

 

"Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Affin Hwang IB atas sokongan yang diberikan kepada kami sepanjang pelaksanaan penyenaraian kami,” kata Meng Thai di dalam kenyataan hari ini.

 

Affin Hwang IB bertindak sebagai penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penaja jamin tunggal Oppstar yang juga bekerjasama rapat dengan syarikat multinasional dalam industri semikonduktor. – DagangNews.com