Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap berharga RM69 sebulan dilancar | DagangNews Skip to main content

Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap berharga RM69 sebulan dilancar

Fahmi Fadzil (tiga, kanan) melancarkan Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap di Dewan Penduduk Taman Sri Wang, Sungai Petani, Kedah pada 30 Mac 2023.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 30 Mac - Kerajaan memperkenalkan Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap (home internet) dengan data tanpa had yang ditawarkan dengan hanya RM69 sebulan.

 

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menerusi ciapan di Twitter hari ini berkata, golongan sasar seperti B40, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), veteran tentera dan polis akan menikmati manfaat tersebut.

 

"Masih ingat lagi pengumuman saya bulan lepas iaitu harga internet WiFi rumah akan diturunkan sebanyak RM20 sebulan? 

 

"Dengan ini, golongan sasar seperti B40, warga emas, OKU, veteran ATM, APMM, dan PDRM boleh menikmati harga internet dengan data 'unlimited' dengan hanya RM69 sebulan.

 

"Semoga usaha ini dapat membantu mengurangkan beban ekonomi rakyat. InsyaAllah," katanya.

 

Terdahulu, beliau merasmikan pakej tersebut di Dewan Penduduk Taman Sri Wang, Sungai Petani, Kedah hari ini.

 

Bulan lepas, Fahmi mengumumkan Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap yang menawarkan perkhidmatan dengan kelajuan sehingga 30 Mbps.

 

 

fahmi

 

 

Pakej itu  ditawarkan dengan kontrak langganan selama 24 bulan. - DagangNews.com