Pasaran saham negara masih catat jumlah pelaburan asing bersih RM6.6 bilion - Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

Pasaran saham negara masih catat jumlah pelaburan asing bersih RM6.6 bilion - Tengku Zafrul

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 Okt - Pasaran saham Malaysia masih mencatatkan jumlah pelaburan asing bersih sebanyak RM6.6 bilion, berbanding jumlah modal keluar bersih bagi keseluruhan negara membangun Asia yang tidak termasuk China berjumlah hampir RM313 bilion.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, selain itu, aktiviti pengumpulan dana di Bursa Malaysia kekal teguh dengan jumlah RM7.2 bilion setakat akhir bulan lalu.

 

Beliau berkata, bagi pasaran bon swasta, aktiviti pembiayaan terus berfungsi dengan baik dengan dana yang dikumpul berjumlah RM72 bilion setakat akhir Ogos, manakala bagi pasaran bon kerajaan, jumlah ini adalah RM118.7 bilion untuk tempoh yang sama.

 

Jelasnya, sistem kewangan negara dan pasaran saham terus berfungsi dengan baik dan teratur. 

 

"Sehingga kini, tiada gangguan kepada pengantaraan kewangan, dan aktiviti pinjaman kekal lancar. Aktiviti perniagaan juga terus mendapat akses kepada pembiayaan kewangan daripada institusi perbankan dan pasaran modal.

 

"Namun, kita perlu peka dengan perkembangan dunia yang turut memberikan kesan kepada pasaran kewangan negara," katanya pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang membangkitkan isu berkenaan ringgit, perkembangan terkini pasaran modal negara dan kebimbangan penurunan indeks KLCI di bawah tahap 1,400 mata setakat ini.

 

 

zafrul
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

 

 

Mengulas lebih lanjut, Tengku Zafrul berkata, faktor itu termasuklah peningkatan kadar faedah oleh bank pusat di Amerika Syarikat (AS) sebanyak 300 mata asas setakat ini, dan dijangka meningkat kepada 4.75% menjelang akhir 2023. 

 

"Ini diikuti dengan langkah lebih daripada 80 bank pusat di seluruh dunia yang telah meningkatkan kadar faedah mereka," tambahnya.

 

Memetik data Reuters, Tengku Zafrul berkata, secara keseluruhan, lebih daripada 300 mata asas kenaikan kadar faedah telah dilaksanakan sepanjang 12 bulan lalu.

 

Akibat daripada ini, adalah dianggarkan pasaran saham di seluruh dunia mengalami kerugian berjumlah AS$9 trilion (RM41.9 trilion). 

 

"Jika dikira bersama kerugian di pasaran bon dunia, jumlah kerugian ini adalah lebih besar, iaitu sekitar AS$46 trilion (RM214 trilion)," katanya.

 

Beliau berkata, walaupun setakat akhir September ini, pasaran saham bursa yang dijejaki oleh indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut sebanyak 11%, pasaran saham di negara lain juga telah menurun. 

 

"Sebagai contoh pasaran saham Korea susut -27.6% diikuti Hong Kong (-26.4%), AS (-24.8%), Jerman (-23.7%), Perancis (-19.4%), Filipina (-19.4%), China (-16.9%) dan Australia (-13%)," katanya. - DagangNews.com