Pekerja Malaysia boleh menjangkakan pelarasan gaji sehingga 20% tahun ini - kaji selidik Randstad | DagangNews Skip to main content

Pekerja Malaysia boleh menjangkakan pelarasan gaji sehingga 20% tahun ini - kaji selidik Randstad

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 17 Jan - Pekerja Malaysia boleh menjangkakan pelarasan gaji sebanyak 3% hingga 20% dengan perubahan ketara dilakukan oleh industri seperti teknologi dan pembuatan terhadap struktur gaji dalaman mereka pada 2023.

 

Laporan Pasaran Pekerjaan dan Trend Gaji 2023 yang dikeluarkan Randstad Malaysia menunjukkan aktiviti pengambilan pekerja adalah tertinggi pada tahun lalu memandangkan banyak syarikat mengembangkan tenaga kerja mereka di Malaysia.

 

Agensi penyelesaian sumber manusia itu berkata, trend tersebut dijangka berterusan pada 2023 walaupun lebih perlahan dan memberi tumpuan kepada peranan yang lebih khusus.

 

Tambahnya, syarikat akan mencapai kejayaan dalam strategi pengambilan pekerja jika langkah-langkah diambil untuk mengurus jangkaan bakat baharu dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan.

 

Menurut firma itu, ia bertentangan dengan persekitaran ekonomi dunia yang semakin perlahan memandangkan aktiviti pengambilan pekerja berkurangan berikutan kemelesetan ekonomi dan kadar inflasi tinggi untuk memberi tumpuan kepada kawalan perbelanjaan.

 

Bagaimanapun, Randstad percaya kemelesetan ekonomi boleh memberi manfaat kepada pasaran buruh Malaysia kerana syarikat berkemungkinan memindahkan unit perniagaan dan tenaga pekerja dari Eropah ke Asia Tenggara.

 

"Ini akan memacu pekerjaan baharu dan akan menarik lebih ramai pekerja asing untuk berpindah ke Malaysia," katanya dalam laporan berkenaan.

 

 

gambar hiasan

 

 

Dalam pada itu, menurutnya, teknologi akan menjadi titik tumpuan pertumbuhan di Malaysia pada tahun-tahun mendatang, di mana industri teknologi digital dijangka menyumbang 22.6% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025.

 

Firma itu berkata, kekosongan pekerjaan dan sektor digital meningkat tiga kali ganda daripada 19,000 kepada 56,000 dalam tempoh setahun dan perkembangan teknologi 5G akan mewujudkan 750,000 pekerjaan menjelang 2023 di Malaysia. Pertumbuhan itu akan memacu permintaan untuk bakat di dalam pembangunan IT dan perusahaan.

 

Dengan lebih banyak kerja berbanding pembekalan tenaga kerja dalam pasaran, syarikat bersaing hebat dalam strategi untuk menarik bakat.

 

Sektor teknologi di Malaysia mempunyai rekod kenaikan gaji tertinggi dan tidak mampan dalam jangka panjang terutamanya bagi syarikat pemula di peringkat awal yang sangat memerlukan bakat.

 

Kesesakan rantaian bekalan telah melambatkan aktiviti pembuatan di Malaysia dan perkara ini berlaku apabila pengilang sudah menambah tenaga kerja secara aktif untuk memenuhi tunggakan dan pesanan baharu.

 

“Apabila pengeluar membina lebih banyak kemudahan di Malaysia untuk memenuhi permintaan global, pengambilan pekerja di peringkat senior untuk pengurus kilang dan ketua pengeluaran akan bertambah,” katanya.

 

Pengarah Randstad Malaysia, Fahad Naeem berkata, banyak syarikat global mengurangkan pengambilan pekerja kerana kadar inflasi yang tinggi untuk mengawal belanjawan.

 

"Bagaimanapun, mungkin ada yang akan beralih ke Malaysia sebagai transformasi dan penstrukturan perniagaan mereka, yang akan mewujudkan pekerjaan baharu untuk bakat tempatan.

 

“Perubahan adalah penting untuk berkembang maju dalam landskap perniagaan Asia yang berkembang pesat.

 

"Dengan orang yang berkhidmat sebagai tulang belakang mana-mana organisasi, pemimpin perniagaan belajar untuk menangani ekspektasi pekerja untuk tarikan bakat dan usaha pengurusan yang lebih berkesan,” jelasnya.

 

Sementara itu, kaji selidik Randstad Workmonitor mendedahkan 85% rakyat Malaysia berpendapat pentingnya bagi majikan untuk menawarkan program latihan pembelajaran dan pembangunan, tetapi hanya 35% responden menerima latihan baharu pada tahun lalu.

 

Tinjauan yang sama menekankan bahawa 61% pekerja di Malaysia ingin mengembangkan kemahiran teknikal mereka agar menjadi lebih berkebolehan dan produktif. - DagangNews.com