Pelabur asing jual RM536 juta ekuiti Malaysia minggu lepas digugat oleh kejatuhan SVB | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing jual RM536 juta ekuiti Malaysia minggu lepas digugat oleh kejatuhan SVB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Mac - Pelabur asing terus menjual bersih ekuiti tempatan untuk minggu ketiga berturut-turut, mencatatkan sebanyak RM536 juta pada minggu lepas berbanding RM556.9 juta, susut 3.8% daripada minggu sebelumnya, menurut laporan MIDF Research hari ini.

 

“Sentimen kekal lemah berikutan cabaran yang dihadapi sektor perbankan Amerika Syarikat,” kata firma penyelidikan itu merujuk kepada kegagalan Silicon Valey Bank (SVB) dan Signature Bank di negara itu pada minggu lalu.

 

Pelabur asing menjual bersih setiap hari dengan jumlah tertinggi sebanyak RM251.3 juta pada Selasa diikuti Khamis (RM99.7 juta) dan Jumaat (RM90.3 juta).

 

Pelabur asing telah menjadi penjual bersih selama 13 hari dagangan sejak 1 Mac dan merekodkan jualan bersih sebanyak RM1.78 bilion setakat ini dan mereka menjual bersih selama lapan minggu daripada 11 minggu.

 

Sektor yang menyaksikan aliran masuk pelaburan asing adalah pembinaan (RM67.9 juta), teknologi (RM13.2 juta), dan pengangkutan dan logistik (RM7.8 juta).

 

Aliran keluar pelaburan asing pula dicatatkan dalam sektor perkhidmatan kewangan (RM359.5 juta), produk dan perkhidmatan perindustrian (RM90.3 juta) dan pengguna produk dan perkhidmatan (RM63.5 juta).

 

Sementara itu, pelabur institusi tempatan terus menyokong ekuiti tempatan dengan pembelian bersih untuk minggu ketiga berturut-turut, dengan pembelian bersih minggu lalu sebanyak sebanyak RM565.7 juta iaitu jumlah mingguan tertinggi pada 2023 dan tertinggi sejak minggu berakhir 9 Disember 2022,” katanya.

 

Pelabur institusi tempatan membeli bersih setiap hari, paling kukuh dilihat pada hari Jumaat sebanyak RM187.7 juta.

 

“Berbanding dengan pelabur asing, mereka telah menjadi pembeli bersih setiap hari sejak 1 Mac, menjadikan jumlah beli bersih ekuiti sebanyak RM1.76 bilion dengan pembelian bersih lapan daripada 11 minggu,” katanya.

 

Pelabur runcit pula menjadi penjual bersih pada kadar RM29.7 juta minggu lepas selepas tiga minggu berturut-turut membeli.

 

Pada minggu lalu, mereka menjual bersih setiap hari kecuali pada Selasa dengan pembelian sebanyak RM113.2 juta dan menrekodkan jumlah jualan bersih tertinggi oleh pelabur runcit tempatan pada Jumaat sebanyak RM97.5 juta.

 

Setakat ini, mereka telah membeli bersih RM14.8 juta ekuiti dengan pembelian bersih untuk enam minggu daripada 11 minggu.

 

Dari segi pergerakan pelabur, MIDF Research mendapati peningkatan volum dagangan purata harian (ADTV) dalam kalangan tempatan peruncit sebanyak 18.4%, institusi tempatan sebanyak 40.4% dan pelabur asing sebanyak 51%. -DagangNews.com