Pelaksanaan subsidi bahan api bersasar pengaruhi prospek inflasi tahun ini - penganalisis ekonomi | DagangNews Skip to main content

Pelaksanaan subsidi bahan api bersasar pengaruhi prospek inflasi tahun ini - penganalisis ekonomi

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 Jan - Tekanan inflasi dijangka kekal tinggi dalam jangka masa terdekat tetapi kadar pertumbuhan mungkin menurun pada suku pertama 2023 berikutan inflasi barangan bukan makanan yang lebih stabil.

 

Public Investment Bank Research berkata, inflasi utama negara diunjur berlegar sekitar 3 hingga 3.5% tahun ini, bergantung kepada perubahan dasar-dasar di peringkat domestik, antaranya pengenalan subsidi bahan api bersasar dan kawalan harga.

 

Menurutnya, indeks harga pengeluar (IHPR), yang mengukur inflasi di peringkat pengeluar/pembuat, terus menunjukkan peningkatan dengan kadar pertumbuhan 3.2% tahun ke tahun pada November daripada 4% pada bulan sebelumnya. 

 

Jelasnya, IHPR telah mencatatkan aliran menurun untuk bulan kelima berturut-turut pada asas tahun ke tahun, menunjukkan kemungkinan tekanan inflasi semakin mereda daripada pelepasan pengeluar kepada pengguna.

 

"Oleh itu, kami menjangkakan penjelasan menyeluruh mengenai garis masa dan strategi untuk penggunaan subsidi yang disasarkan untuk menyokong kumpulan pendapatan B40 dan M40 serta perniagaan kecil yang telah terjejas teruk oleh kenaikan harga baru-baru ini.

 

"Kemungkinan perkara ini akan disebut dalam pembentangan Bajet 2023 pada 24 Februari ini," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Jumaat lalu menunjukkan inflasi Malaysia mereda kepada 3.8% pada Disember 2022 dengan mata indeks mencatatkan 129.2 berbanding 124.5 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

 

Kenaikan perlahan kumpulan makanan & minuman bukan alkohol kepada 6.8% berbanding 7.3% pada bulan sebelumnya telah menyumbang kepada peningkatan lebih rendah inflasi negara. 

 

Ia menyaksikan inflasi bagi keseluruhan 2022 meningkat 3.3% berbanding 2.5% yang dicatatkan pada 2021. 

 

Sementara itu, CGS-CIMB Research menjangkakan indeks harga pengguna (IHP) berkembang perlahan pada 3% tahun ini, di tengah-tengah langkah kawalan harga. 

 

Katanya, inflasi utama telah menunjukkan tanda-tanda penyederhanaan, disebabkan penurunan kesan asas rendah dan kejatuhan harga komoditi.

 

"Kami percaya campur tangan kerajaan dalam barangan yang ditadbir akan berterusan dalam tempoh terdekat.

 

"Malah, inflasi juga dijangka menurun bagi asas tahun ke tahun tetapi kekal tinggi dalam tempoh terdekat hingga sederhana, dengan mengambil kira tekanan harga yang masih berterusan," jelasnya.

 

 

BNM

 


Jangkaan OPR

 

Mengenai kadar dasar semalaman (OPR), CGS-CIMB berkata, keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menghentikan seketika kenaikannya dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Januari menggambarkan tekanan inflasi sudah mencapai kemuncaknya.

 

"Dalam hal ini, kami mengekalkan unjuran IHP tahun ini sebanyak 3% tahun ke tahun," katanya. 

 

Sementara itu, menurut Public Investment, bank pusat kemungkinan akan mengekalkan OPR pada 2.75% dalam mesyuaratnya pada Mac dan Mei 2023. 

 

Katanya, ia berikutan nada berhati-hati BNM terhadap risiko penurunan yang mempengaruhi prospek pertumbuhan ekonomi, di peringkat luaran dan dalaman. 

 

"Namun, memandangkan keputusan masa depan bergantung kepada data, kami melihat kemungkinan kenaikan sebanyak 25 mata asas lagi kepada 3% pada separuh kedua.

 

"Tetapi, ini bergantung pada langkah dasar domestik, seperti kemungkinan pengenalan subsidi bahan api yang disasarkan dan kawalan harga, serta perkembangan harga komoditi global," katanya.

 

Pada Khamis lalu, BNM membuat keputusan mengejutkan dengan mengekalkan OPR pada 2.75% mengatasi kebanyakan jangkaan penganalisis sebelum ini. 

 

Sepanjang 2022, bank pusat telah menaikkan kadar itu sebanyak 100 mata asas daripada paras terendah, 1.75%. - DagangNews.com