Pelan induk Taman MRANTI dijangka cipta lebih 8,000 pekerjaan, pupuk keupayaan negara dalam Revolusi Industri 4.0 - PM | DagangNews Skip to main content

Pelan induk Taman MRANTI dijangka cipta lebih 8,000 pekerjaan, pupuk keupayaan negara dalam Revolusi Industri 4.0 - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap merasmikan pelan induk Taman MRANTI di Bukit Jalil pada 6 Oktober 2022. - Gambar BERNAMA
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 Okt - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan pelan induk Taman MRANTI yang dijangka dapat mencipta lebih 8,000 peluang pekerjaan baharu, dan sekaligus menjadi berita baik untuk seluruh Keluarga Malaysia.

 

Ismail Sabri berkata, pelan induk tersebut akan memupuk keupayaan Malaysia dalam Revolusi Industri 4.0 dan juga teknologi terkini daripada sistem Internet Pelbagai Benda (IoT), perkhidmatan Protokol Internet (IP) dan makmal kepada kemudahan pembuatan kontrak dengan teknologi canggih. 

 

Beliau berkata, Taman MRANTI merupakan hab inovasi terunggul di Malaysia yang akan memberi tumpuan kepada tiga teras pembangunan iaitu Inovasi, Kemampanan Alam Sekitar dan Budaya Urban (atau Setempat).

 

Jelasnya, kawasan seluas 686 ekar itu telah menarik minat banyak syarikat teknologi, termasuk Intervenn Biosciences, Dedikasi Aba Biosciences, BoomGrow, Spygene Laboratories, Vivantis Technologies dan Reszon.

 

"Tahun ini, beberapa buah lagi syarikat teknologi antarabangsa menunjukkan minat untuk bertapak di kawasan tersebut.

 

"Terletak kira-kira 15 kilometer dari Bandar Malaysia, sebuah hab perniagaan global dan pemangkin transformasi Greater KL, Taman MRANTI berperanan menyelaras keluaran penyelidikan dan pembangunan (R&D) ke pasaran menerusi ekosistem bersepadu, yang memusatkan semua aktiviti teknologi dan inovasi secara setempat. 

 

"Taman MRANTI ini juga menyaksikan kerjasama dengan lima buah koridor ekonomi iaitu Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Koridor Pembangunan Sabah (SDC), Iskandar Malaysia, Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) dalam mempromosi dan mengguna pakai keluaran teknologi R&D serta pengkomersialan," katanya ketika berucap merasmikan Pelan Induk Taman MRANTI, Bukit Jalil di sini hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, Taman MRANTI dilengkapi dengan infrastruktur moden, termasuk jalur lebar berkelajuan tinggi dan teknologi 5G serta insentif dan peluang pembiayaan, juga direka untuk menarik golongan profesional muda, serta mewujudkan laluan yang stabil bagi bakat berkemahiran tinggi.

 

"Lima kluster teknologi sedang dibangunkan di Taman MRANTI, iaitu teknologi dron, pertanian, kesihatan, biosains dan pemboleh 4IR dengan anggaran nilai pembangunan kasar sebanyak RM20 bilion dan nilai pulangan sebanyak RM2.8 bilion melalui pajakan tanah oleh MRANTI kepada para pelabur.

 

"Usaha ini akan dipacu MIMOS Berhad, yang berperanan penting membantu negara menjana nilai tambah yang tinggi daripada aktiviti pembangunan dan pengkomersialan teknologi, khususnya dalam sektor elektrik & elektronik (E&E)," katanya.

 

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan penjenamaan semula MIMOS Berhad kepada MIMOS Global bagi melambangkan imej baharu yang lebih meluas, bersesuaian dengan daya saing bidang teknologi yang tidak mengenal sempadan.

 

"Saya berharap MIMOS Global akan terus bekerja keras untuk membantu Kerajaan memacu pembangunan dan meningkatkan penguasaan dalam sektor kepakarannya manakala kerajaan pula bertindak menyediakan sokongan kewangan dan kemudahan yang sewajarnya," katanya. - DagangNews.com