Pemilikan pesawat A400M permudahkan misi kemanusiaan di Turkiye  | DagangNews Skip to main content

Pemilikan pesawat A400M permudahkan misi kemanusiaan di Turkiye 

Sebahagian daripada kontinjen Op Starlight ATM bersama pesawat A400M sebelum berlepas ke Turkiye.
Oleh ZAKI SALLEH 

KUALA LUMPUR 13 Feb - Malaysia menjadi antara negara terawal tiba menghantar misi membantu mangsa gempa bumi yang melanda negara Turkiye pada 6 Februari lalu.

 

Selepas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dihantar dalam tempoh kurang 12 jam, ia disusuli pasukan perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

Tim Op Starlight (Operasi Pengendalian Hospital Medan Malaysia di Turkiye) melibatkan penghantaran pertama 36 pegawai dan anggota berserta dengan peralatan hospital medan seberat 44 tan.

 

Hospital medan ini akan ditempatkan di Adiyaman dengan bantuan koordinasi dari Kedutaan Turkiye di Malaysia, Kementerian Luar Negeri dan Agensi Pengurusan Bencana Negara.

 

Dua pesawat Airbus A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama kelengkapan ini telah pun selamat tiba di Gaziantep, Turkiye semalam (Sabtu).

 

Pesawat ini berleps dari Pangkalan Udara Subang  awal pagi Jumaat manakala kumpulan kedua pasukan perubatan dari Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM dalam perjalanan ke Istanbul.

 

Penghantaran misi Op Starlight dilaksanakan dalam tiga fasa yang mana kumpulan terakhir dijangka akan berlepas pada malam 11 Februari.

 

 

atm
Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang (kanan) semasa meninjau persediaan Op Starlight di Pangkalan Udara Subang.

 

 

Fokus utama bantuan perubatan ini adalah bagi menyokong kerajaan dan rakyat Turkiyet yang kini berada dalam situasi sukar.

 

ATM khususnya Bahagian Perkhidmatan Kesihatan dan TUDM sendiri mempunyai pengalaman luas terbabit dalam misi kemanusiaan dan bantuan bencana (Humanitarian Assistance and Disaster Relief - HADR).

 

Bidang Operasi Ketenteraan Selain Peperangan (MOOTW) ini juga salah satu kemahiran penting ATM dengan mengambil kira cabaran baharu dan ketidaktentuan dalam aspek keselamatan.

 

Tindak balas Malaysia khususnya ATM dapat memainkan peranan pada pentas bantuan kemanusiaan antarabangsa ini tidak disangkal kerana adanya kemudahan logistik yang efisien.

 

 

atm
Dua pesawat A400M yang tiba di Gaziantep, Turkiye.

 

 

Dalam situasi genting seperti inilah peranan pesawat Airbus A400M sebagai jentera pengangkut bagi penerbangan jarak jauh dengan membawa beban yang banyak sangat perlu.

 

Tanpa pesawat pengangkut strategik seperti Airbus A400M ini, misi menghantar bantuan negara ke Turkiye pasti mengambil masa lebih panjang.

 

Dengan mengandaikan TUDM kekal mengoperasikan 15 pesawat pengangkut taktikal Hercules C130H sedia ada, sudah pasti jangka masa pesawat ininuntuk terbang ke Turkiye lebih lama.

 

Dimeterai pada Pameran Antarabangsa Udara dan Maritim Langkawi 2005 (LIMA 05), pembelian empat pesawat pengangkut bernilai RM2.8 bilion itu merupakan keputusan bijak kerajaan.

 

Semasa Kementerian Pertahanan (Mindef) mengumumkan pembelian pesawat pengangkut Airbus A400M, ada kalangan pemikir pertahanan tempatan beranggapan cadangan tersebut kurang bernas.

 

 

atm
Perolehan pesawat A400M merupakan keputusan bijak apabila ATM mempunyai keupayaan pengangkut udara strategik.

 

 

Alasannya, perolehan pesawat yang menelan kos berbilion ringgit itu ada risikonya kerana tempoh untuk menyiapkan pesawat dijangka memakan masa bertahun-tahun.

 

Ketika itu, Airbus melalui cabang firma pertahanannya, Airbus Military masih belum menghasilkan pesawat hakiki dan cuma mempamerkan visual komputer pesawat kepada negara bakal pembeli.

 

A400M diilhamkan pada tahun 1982 bagi Program Pesawat Pengangkut Masa Hadapan (FIMA) melibatkan tiga gergasi aeroangkasa Barat iaitu Aérospatiale, British Aerospace (BAe), Lockheed and Messerschmitt-Bölkow-Blohm (MBB).

 

Mengikut perancangan, pesawat yang dihasilkan dalam kategori sederhana nanti hendaklah lebih besar daripada Hercules C-130 tetapi lebih kecil berbanding pesawat Boeing C-17.

 

Malangnya, Lockheed menarik diri tujuh tahun kemudian sebelum disertai firma Alenia dan CASA dari Itali.

 

Hanya pada tahun 2003, pelan global pembangunan A400M dimeterai lapan negara Eropah iaitu Perancis, Jerman, Itali, Sepanyol, Britain, Turki, Belgium dan Luxemborg. Itali bagaimanapun menarik diri kemudian.

 

Pembelian A400M menyaksikan Malaysia menjadi negara tunggal Asia dan bukan ahli NATO menyertai program pesawat pengangkut global itu manakala Afrika Selatan pula mewakili benuanya.

 

Pesawat A400M yang pertama siap dibina pada Jun 2008 sebelum melakukan penerbangan sulung pada 11 Disember 2009. 

 

Ia direka bagi operasi di kawasan pendaratan tidak tersedia, boleh menggabungkan keupayaan logistik dan taktikalnya untuk membawa beban hingga 30 tan metrik sejauh 2,450 batu nautika.

 

Perolehan tersebut menguntungkan industri hiliran tempatan khususnya teknologi mega aeroangkasa.

 

Sebagai contoh, syarikat Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) terbabit dalam pengeluaran sebahagian ekor pesawat A400M, sayap dan penutup gear pendaratan.

 

TUDM sememangnya memerlukan pesawat pengangkut berkeupayaan tinggi sesuai dengan peranan pelbagai misi yang perlu dilaksanakan dan bukan terhad kepada tugas ketenteraan.

 

Bagi jangka masa panjang, TUDM wajar mendapatkan pesawat tambahan sekurang-kurangnya dua buah A400M agar boleh ditempatkan di Sabah Sarawak.

 

Pada Mac tahun lalu, TUDM diiktiraf sebagai pengendali pesawat A400M pertama merekodkan lebih 10,000 jam penerbangan di seluruh dunia.

 

Keupayaan mencapai rekod jam serta kitaran penerbangan jauh lebih tinggi berbanding pengendali pesawat A400M yang lain, menjadikan TUDM peneraju 'fleet global' bagi pesawat berkenaan.

 

Ini menjadikan TUDM sebagai sumber rujukan berharga kepada semua pelanggan pesawat A400M serta Airbus sedia ada.

 

Pengoperasian A400M telah mengubah corak operasi pesawat pengangkutan udara, dengan memainkan peranan penting dalam pelbagai misi.

 

Sebab itulah perolehan aset yang betul walaupun memakan kos besar seperti Airbus A400M bukanlah satu pelaburan yang merugikan negara khususnya untuk ATM. - DagangNews.com