Penganalisis ekonomi bimbang prospek dagangan Malaysia bagi 2023 akibat ketidaktentuan luaran | DagangNews Skip to main content

Penganalisis ekonomi bimbang prospek dagangan Malaysia bagi 2023 akibat ketidaktentuan luaran

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 19 Jan - Kelembapan ekonomi global pada 2023 dijangka menjejaskan momentum pertumbuhan perdagangan sekali gus memberi kesan kepada prestasi eksport negara. 

 

Menurut AmInvestment Bank Research, keadaan itu dapat dilihat daripada eksport yang lebih perlahan dalam produk elektrik dan elektronik (E&E), yang membentuk sebahagian besar daripada jumlah eksport Malaysia, mencerminkan ekonomi global sudah memasuki tahap perlahan.

 

"Ini selari dengan jangkaan pertumbuhan eksport kami sekitar 5 hingga 10% pada 2023 dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kekal sekitar 4.5%.

 

"Unjuran pertumbuhan kami buat masa ini mengambil kira aktiviti domestik masih kekal berdaya tahan pada tahun ini," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Semalam, data yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menunjukkan perdagangan Malaysia melebihi aras RM2 trilion bagi dua tahun berturut-turut dan mencatatkan pertumbuhan terpantas sejak 1994.

 

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pada 2022, perdagangan Malaysia masih mengekalkan prestasinya yang memberangsangkan dan mencatatkan satu lagi pencapaian terbaik apabila perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan melonjak ke nilai tertinggi yang baharu.

 

Eksport mencatat nilai sebanyak RM1.552 trilion, melebihi unjuran Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) bagi 2025 sebanyak 24%, tiga tahun lebih awal dari sasaran yang ditetapkan.

 

Import pula mencatatkan satu lagi pencapaian baharu apabila buat julung kalinya melebihi aras RM1 trilion.

 

 

parafrasa

 

 

Sementara itu, CGS-CIMB Research menjangkakan eksport Malaysia akan merosot beberapa bulan akan datang walaupun mencatat prestasi perdagangan yang kukuh pada 2022.

 

Katanya, ia dicerminkan oleh eksport E&E pada Disember 2022 yang menyederhana kepada pertumbuhan satu angka tahun ke tahun serta pertumbuhan negatif bulan ke bulan, yang menunjukkan permintaan perlahan dalam situasi kebimbangan mengenai kemelesetan global.

 

“Secara keseluruhan, kami menjangkakan KDNK Malaysia akan menyederhana kepada 4.4% pada 2023 berbanding pengembangan 8.4% pada 2022,” katanya. 

 

Public Investment Bank Research pula berkata, ekoran kelembapan ekonomi global, prestasi sektor pembuatan negara akan berkembang seiring dengan jualan semikonduktor global bulanan, yang terus menunjukkan kelemahan dengan pertumbuhan negatif 9.2% tahun ke tahun pada November (-4.6% pada Oktober).

 

Firma itu percaya kejutan yang tidak menggalakkan dalam tempoh tiga tahun lalu - pandemik COVID-19, pergolakan geopolitik antara Rusia-Ukraine dan peningkatan mendadak dalam inflasi serta pengetatan dasar monetari di seluruh dunia, mempunyai kesan berpanjangan ke atas prospek ekonomi tahun ini.

 

Pada masa sama, katanya, Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO) menjangkakan perdagangan global akan berkembang 1% tahun ini, merosot daripada anggaran 3.5% pada 2022, mencerminkan permintaan global yang lemah.

 

"Kesemua faktor ini turut meningkatkan lagi risiko kepada prestasi perdagangan Malaysia pada 2023, yang dijangka berkembang pada kadar lebih perlahan.

 

"Kami percaya perdagangan sangat lemah di negara-negara ASEAN yang mempunyai hubungan perdagangan yang ketara dengan ekonomi utama di mana permintaan dijangka menurun secara mendadak," katanya. - DagangNews.com