Pengarah Urusan SYF Resources kurangkan pegangan kepada 11.97%, buka laluan kepada langkah pengambilalihan | DagangNews Skip to main content

Pengarah Urusan SYF Resources kurangkan pegangan kepada 11.97%, buka laluan kepada langkah pengambilalihan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Jan - Pengarah Urusan SYF Resources Bhd, Datuk Seri Ng Ah Chai mengurangkan separuh pegangan sahamnya kepada 11.97%, selepas beliau melupuskan 67 juta saham manakala isterinya Datin Sri Chee Ah Kuan menjual 1.1 juta saham.

 

Sebanyak 67 juta saham itu dijual di luar pasaran tanpa sebarang pembeli manakala 1.1 juta saham dijual di pasaran terbuka, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia semalam.

 

Ah Chai melupuskan saham itu pada 38.4 sen setiap satu pada 20 Januari manakala Ah Kuan melupuskan saham dalam tiga bahagian iaitu 600,000 pada 20 Januari dan 300,000 pada 25 Januari, pada 38.5 sen setiap satu diikuti 200,000 saham pada 24 Januari pada 38.4 sen setiap satu.

 

Selepas pelupusan tersebut, pegangan langsung Ah Chai berjumlah 11.83% atau 67.28 juta unit manakala pegangan tidak langsungnya ialah 0.14% atau 820,000 saham.

 

 

Pengarah Urusan SYF Resources Bhd, Datuk Seri Ng Ah Chai
Pengarah Urusan SYF Resources Bhd, Datuk Seri Ng Ah Chai.

 

Sebelum ini dilaporkan, Ah Chai telah mengurangkan pegangannya dalam SYF Resources sejak Mac 2021 apabila dia menjual 67 juta saham melalui kedua-dua pasaran terbuka dan luar pasaran menjadikan pegangan saham langsungnya turun kepada 42.6% daripada 53.98%.

 

Pada April 2021, 28.5 juta saham miliknya dilupuskan di luar pasaran dan 14.5 juta saham melalui pasaran terbuka menjadikan pegangan langsungnya berkurang kepada 35.2%.

 

Menjelang 9 September 2022, pegang langsungnya dikurangkan lagi kepada 23.6% dan pegangan tidak langsung pula kepada 0.337% selepas menjual 48.6 juta saham di luar pasaran dan 17.4 juta saham melalui pasaran terbuka.

 

Bulan lalu, SYF Resources berkata, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memberi kelulusan bersyarat untuk pengambilalihan secara terbalik oleh M&A Securities Sdn Bhd, cabang broker saham Insas Bhd.

 

Langkah itu akan menyaksikan kumpulan tersebut memperoleh 100% pegangan dalam M&A Securities pada harga RM222 juta, yang akan dipenuhi melalui terbitan saham SYF kepada Insas.

 

SYF Resources akan melupuskan cabang pembuatan kayu getahnya, Seng Yip Furniture Sdn Bhd pada harga RM50 juta dan dua petak tanah pegangan bebas di Cheras pada harga RM21 juta, sebagai sebahagian daripada langkah tersebut.

 

Ah Chai juga merupakan pengarah urusan kumpulan pengeluar papan partikel Mieco Chipboard Bhd yang menyaksikan beliau adalah pemegang saham utama.

 

Sehingga 12 Oktober 2022, beliau memegang 62.69% atau 626.9 juta saham dalam syarikat itu yang diperoleh sejak Disember 2020.

 

Sebelum itu, beliau memegang 56.77% pegangan langsung atau 119.22 juta saham. - DagangNews.com