Pengeluaran buah sawit Kim Loong dijangka meningkat 6% pada FY23 - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Pengeluaran buah sawit Kim Loong dijangka meningkat 6% pada FY23 - AmInvestment

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Okt - AmInvestment Bank Research menjangkakan pengeluaran buah sawit segar Kim Loong Resources meningkat sebanyak 6% pada FY23.

 

Firma itu berkata, walaupun pengeluaran buah sawit adalah mendatar untuk 7MFY23, namun mereka percaya pengeluarannya akan bertambah baik berikutan faktor musim.

 

Katanya, pengeluaran buah sawit kumpulan itu akan mencapai tahap tertinggi antara Oktober dan November.

 

"Walaupun kekerapan hujan di Sarawak tinggi, namun tidak memberi kesan kepada pengeluaran buah sawit mereka.

 

"Lebih daripada separuh hasil kumpulan itu dihasilkan menerusi perniagaan huluan dan operasi kilang di Johor serta Sabah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, buat masa sekarang berdepan masalah kekurangan pekerja antara 10% hingga 20% dan sedang dalam proses mengambil pekerja baharu dari Indonesia.

 

"Kekurangan tenaga pekerja kumpulan itu adalah lebih serius di kebanyakan ladang di Semenanjung Malaysia dan Sarawak berbanding Sabah," katanya.

 

Firma itu juga percaya kos pengeluaran keseluruhan kumpulan akan meningkat kepada RM2,300 bagi setiap tan pada FY23 daripada RM1,670 pada FY22.

 

Katanya, kos baja dijangka meningkat dua kali ganda pada FY23 manakala kenaikan gaji minimum tidak memberi kesan kepada mereka memandangkan kebanyakan pekerja menerima gaji minima melebihi RM1,500 sebulan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' terhadap kumpulan itu dengan harga wajar (FV) tidak berubah RM1.65 sesaham," katanya. - DagangNews.com