Perdagangan Februari Malaysia terus kukuh, naik 11%, eksport meningkat 9.8% - MITI | DagangNews Skip to main content

Perdagangan Februari Malaysia terus kukuh, naik 11%, eksport meningkat 9.8% - MITI

Pelabuhan West Port di Pelabuhan Klang, Selangor. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 20 Mac - Data perdagangan Malaysia pada Februari mengekalkan trajektori peningkatan dengan mencatatkan pertumbuhan dua digit tahun ke tahun sebanyak 11% kepada RM204.99 bilion, manakala eksport berkembang 9.8% kepada RM112.28 bilion.

 

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataan hari ini berkata import pada bulan yang sama bertambah 12.4% kepada RM92.71 bilion. 

 

“Lebihan dagangan adalah ke-34 bulan berturut-turut direkodkan sejak Mei 2020 yang bernilai RM19.56 bilion.

 

“Perdagangan, eksport dan import merupakan nilai bulanan tertinggi bagi Februari. Pertumbuhan eksport telah disokong oleh eksport yang kukuh bagi keluaran petroleum, barangan elektrik dan elektronik (E&E) serta gas asli cecair (LNG),” katanya.

 

Sementara itu, eksport ke pasaran utama khasnya ASEAN dan Amerika Syarikat merekodkan pertumbuhan dua digit.

 

MITI berkata berbanding Januari 2023, lebihan dagangan berkembang 7.9% manakala perdagangan, eksport dan import masing-masing menyusut sebanyak 1.1%, 0.3% dan 1.9% berikutan bilangan hari bekerja yang singkat.

 

Bagi Januari hingga Februari 2023, perdagangan berkembang 6.1% kepada RM412.17 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2022, manakala eksport meningkat 5.4% kepada RM224.93 bilion dan import naik 7% kepada RM187.24 bilion.

 

Menurut MITI, lebihan dagangan menyusut secara marginal sebanyak 1.8% kepada RM37.69 bilion manakala perdagangan, eksport dan import mencatatkan nilai yang tertinggi bagi tempoh ini.


 

MITI

 


Eksport utama 

Antara barangan eksport utama adalah barangan barangan E&E bernilai RM44.27 bilion dan merangkumi 39.4% daripada jumlah eksport, meningkat 11.7% berbanding Februari 2022.

 

Keluaran petroleum pula bernilai RM12.26 bilion dan menyumbang 10.9% daripada jumlah eksport, melonjak 67.5%; kimia dan bahan kimia (RM6.16 bilion, 5.5% daripada jumlah eksport, berkurangan 7.2%), LNG (RM5.42 bilion, 4.8% daripada jumlah eksport, meningkat 32.9%); dan minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit (RM5.38 bilion, 4.8% daripada jumlah eksport, merosot 13.8%).

 

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, eksport barangan perkilangan dan keluaran pertanian masing-masing pulih sebanyak 0.6% dan 2.1%, manakala eksport hasil galian menyusut 10.1%.

 

ASEAN Teraju Destinasi Eksport

Pada Februari 2023, perdagangan dengan ASEAN yang merangkumi 27.4% daripada jumlah perdagangan Malaysia naik 10% tahun atas tahun kepada RM56.14 bilion.

 

Eksport berkembang 14.8% kepada RM33.69 bilion, pertumbuhan dua digit yang ke-19 bulan berturut-turut yang disumbangkan oleh kenaikan eksport keluaran petroleum dan barangan E&E.

 

Import dari ASEAN berkembang 3.5% kepada RM22.45 bilion.

 

Eksport ke semua pasaran utama ASEAN telah merekodkan pertumbuhan kecuali Vietnam. Eksport ke pasaran utama yang merekodkan peningkatan adalah Singapura yang menokok sebanyak RM4.01 bilion, disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E, Thailand (RM308.5 juta, petroleum mentah) dan Indonesia (RM450.7 juta, barangan E&E).

 

Menurut MITI, berbanding Januari 2023, perdagangan dan import masing-masing berkembang sebanyak 1.6% dan 6.1%, manakala eksport menurun sebanyak 1.2%.

 

Bagi tempoh Januari hingga Februari 2023, perdagangan dengan ASEAN meningkat 7.8% kepada RM111.4 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2022.

 

Eksport ke rantau ini meningkat 12.7% kepada RM67.79 bilion, dipacu oleh eksport yang kukuh bagi keluaran petroleum, barangan E&E dan petroleum mentah.

 

Import dari ASEAN bertambah 0.8% kepada RM43.61 bilion.


 

parafrasa

 


Prestasi Import
 

Jumlah import pada Februari 2023 berkembang 12.4% tahun atas tahun kepada RM92.71 bilion.

 

Tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir yang merangkumi 68.9% daripada jumlah keseluruhan import adalah barangan pengantara yang bernilai RM48.98 bilion atau 52.8% daripada jumlah import, meningkat 3.3% tahun atas tahun berikutan peningkatan import minyak dan pelincir utama.

 

Kategori kedua adalah barangan modal bernilai RM7.89 bilion atau 8.5% daripada jumlah import, turun 0.3% disebabkan oleh penyusutan import barangan modal kecuali kelengkapan pengangkutan.

 

Kategori ketiga adalah barangan penggunaan bernilai RM7.06 bilion atau 7.6% daripada jumlah import, berkembang 1.2% hasil peningkatan import makanan dan minuman utama khusus untuk penggunaan isi rumah.

 

Bagi tempoh Januari hingga Februari 2023, import barangan pengantara menyusut 0.5% kepada RM97.42 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas, barangan modal (-1.2% kepada RM17.57 bilion) dan barangan penggunaan (-2.1% kepada RM15.3 bilion). - DagangNews.com