Perdagangan Malaysia bagi Disember 2022 meningkat 8.6% kepada RM236 bilion - DOSM | DagangNews Skip to main content

Perdagangan Malaysia bagi Disember 2022 meningkat 8.6% kepada RM236 bilion - DOSM

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 27 Jan - Jumlah perdagangan Malaysia bagi Disember 2022 meningkat 8.6% tahun ke tahun kepada RM236 bilion dengan masing-masing eksport menokok 6.0% kepada RM131.9 bilion manakala import naik 12.0% kepada RM104.1 bilion, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah perdagangan Malaysia bagi 2022 juga merupakan satu pencapaian baharu dengan mencecah RM2.8 trilion.

 

Eksport negeri-negeri pada Disember 2022 meningkat sebanyak RM7.5 bilion atau 6% berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.

 

Menurutnya, eksport lebih tinggi direkodkan bagi kebanyakan negeri iaitu Johor (+RM4.3 bilion), Sarawak (+RM2.2 bilion), Selangor (+RM1.4 bilion), Wilayah Persekutuan (+RM1.4 bilion), Negeri Sembilan (+RM264.1 juta), Perak (+RM230.1 juta) dan Kedah (+RM184 juta).

 

Negeri-negeri lain seperti Melaka turut mencatat eksport lebih tinggi iaitu RM97.9 juta, Kelantan (+RM92.9 juta), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (+RM64.8 juta) dan Perlis (+RM14.3 juta).

 

Bagaimanapun, eksport susut di negeri seperti Sabah iaitu RM1.7 bilion, Pahang (-RM563.3 juta), Terengganu (-RM531 juta) dan Pulau Pinang (-RM93.3 juta).

 

Mengulas prestasi import mengikut negeri, Mohd Uzir berkata, import pada Disember 2022 meningkat RM11.2 bilion atau 12.0% berbanding tempoh sama pada 2021, dipacu oleh peningkatan import di kebanyakan negeri seperti Johor (+RM5.1 bilion), Selangor (+RM2.7 bilion) dan Melaka (+RM1.8 bilion).

 

 

DOSM

 

 

“Antara lima negeri pengeksport utama, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 30.8% dan diikuti oleh Johor (19.2%), Selangor (17.8%), Sarawak (9.1%) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (4.7%),” katanya, lapor Bernama.

 

Bagi import pula, Selangor muncul sebagai penyumbang utama dengan 27.2% dan diikuti oleh Pulau Pinang (21.9%), Johor (20.8%), Kuala Lumpur (6.6%) dan Kedah (5.8%). - DagangNews.com