Perdana Petroleum raih lanjutan kontrak bernilai RM15.5 juta daripada Petronas | DagangNews Skip to main content

Perdana Petroleum raih lanjutan kontrak bernilai RM15.5 juta daripada Petronas

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Okt - Perdana Petroleum Berhad menerusi anak syarikatnya, Perdana Nautika Sdn. Bhd. telah menerima lanjutan tempahan kerja daripada Pertonas Carigali Sdn. Bhd. untuk penyewaan kapal tunda serta pengendalian sauh.

 

Kumpulan itu menyatakan bahawa lanjutan kontrak itu sudah bermula sejak 11 Julai 2022 dan akan tamat pada 29 April 2023 selepas pindaan kepada tempoh lanjutan kontrak asal daripada "sehingga 30 hari" kepada "sehingga 292 hari".

 

"Tempoh lanjutan itu bernilai kira-kira RM15.5 juta," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Lanjutan kontrak itu akan menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

 

Ia bagaimanapun tidak akan mempunyai kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham kumpulan.

 

Risiko berkaitan lanjutan kontrak itu adalah risiko operasi biasa yang boleh dikurangkan melalui sistem pengurusan projek dan kawalan perniagaan dalaman.

 

Sementara itu, dalam satu makluman berasingan, kumpulan itu berjaya mendapatkan kontrak baharu daripada Petronas Carigali untuk penyediaan kapal tunda dan bekalan pengendalian sauh dengan harga RM720,000.

 

Kontrak itu bermula pada 19 Julai 2022 untuk tempoh sehingga 15 hari dengan pilihan untuk dilanjutkan sehingga 14 hari dari tarikh permulaan. - DagangNews.com