Perintah penggulungan, Serba Dinamik kemuka rayuan | DagangNews Skip to main content

Perintah penggulungan, Serba Dinamik kemuka rayuan

KUALA LUMPUR 12 Jan - Lembaga Pengarah Serba Dinamik Holdings Bhd. semalam memfailkan rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan penggulungan syarikat itu dan tiga anak syarikatnya.

 

Menurutnya, ia juga memfailkan rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi (pada Selasa) yang tidak membenarkan permohonan syarikat itu untuk menangguhkan pendengaran penggulungan itu.

 

"Pihak lembaga pengarah ingin memaklumkan selanjutnya bahawa anak syarikat milik penuhnya, Serba Dinamik International Ltd (SDIL) akan memohon bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi untuk menggulung SDIL.

 

"Lembaga pengarah telah menerima nasihat bahawa perintah untuk menggulung SDIL adalah ultra vires," katanya dalam kenyataan seperti dilapor Bernama.

 

Baca : Mahkamah Tinggi benarkan petisyen gulung tikar Serba Dinamik Holdings Berhad

 

Sementara itu, Serba Dinamik berkata, lembaga pengarah mengarahkan peguamnya untuk memfailkan permohonan bagi menangguhkan perintah penggulungan syarikat itu dalam memastikan operasi perniagaannya terus berjalan sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan.

 

"Lembaga Pengarah juga mengarahkan peguam memfailkan permohonan bagi menangguhkan penggulungan SDIL sementara pendengaran permohonan untuk mengetepikan perintah penggulungan ke atas SDIL," kata syarikat itu.

 

Jelasnya, lembaga pengarah ingin memaklumkan bahawa syarikat itu sudah memfailkan permohonan untuk mendapatkan penangguhan pendengaran petisyen penggulungan itu di Mahkamah Tinggi semalam dengan antara faktornya ialah syarikat itu dimaklumkan bahawa Syarikat Bersekutu kumpulan itu sedang melakukan persiapan untuk menjual kepentingannya atau aset di dalam Syarikat Bersekutu itu dengan anggaran hasil bersih AS$700 juta.

 

Syarikat itu berkata, hasil daripada penjualan saham SDIL boleh digunakan untuk membayar hutang kumpulan itu.

 

"Terdapat rundingan aktif dengan prospek cadangan penjualan itu. Lembaga pengarah berpendirian bahawa penangguhan pendengaran itu akan membenarkan pihak-pihak termasuk Pelikuidasi Interim (IL) untuk mempertimbangkan cadangan penjualan itu.

 

"Pihak lembaga pengarah berharap jualan aset syarikat dan kumpulannya secara teratur akan memaksimumkan pulangan kepada pemiutang kumpulan itu.

 

Menurutnya lagi, sebagaimana dimaklumkan sebelum ini, pihak lembaga pengarah akan melaksanakan kuasa yang tinggal untuk merayu terhadap keengganan Mahkamah Tinggi untuk menangguhkan pendengaran.

 

Pada Selasa, Pesuruhjaya Kehakiman, Ahmad Murad Abdul Aziz membenarkan satu petisyen yang difailkan enam institusi kewangan untuk menggulung Serba Dinamik dan subsidiarinya SDIL, Serba Dinamik Group Berhad (SDGB) dan Serba Dinamik Sdn Bhd (SDSB).

 

Enam institusi kewangan selaku pempetisyen saman itu adalah Standard Chartered Saadiq Bhd, HSBC Amanah Malaysia Bhd, AmBank Islamic Bhd, MIDF Amanah Investment Bank Bhd, United Overseas Bank (Malaysia) Bhd dan Bank Islam Malaysia Bhd.

 

Empat syarikat itu dikatakan mempunyai hutang berjumlah hampir RM5 bilion. - DagangNews.com