Perkasa peranan, hak wanita agar teguh hadapi cabaran | DagangNews Skip to main content

Perkasa peranan, hak wanita agar teguh hadapi cabaran

oleh NORAZLINDA MOHAMMAD

TANGGAL 8 Mac 2023 merupakan hari yang diingati setiap tahun iaitu Hari Wanita Sedunia.  Hari yang disambut oleh golongan wanita sedunia dengan memberi aspirasi, mengenang jasa, penghargaan kepada kejayaan yang diperoleh, mengangkat martabat wanita sebagai kaum yang bersemangat waja, berjiwa kental, gagah memperjuangkan hak wanita agar berdiri sama tinggi dengan kaum lelaki dan berupaya membuat apa sahaja tugasan yang diimpikan serta dicita-citakan tanpa ada halangan atau sekatan oleh sesiapa. 

 

Itulah istimewanya kaum yang bergelar hawa berkudrat bukan lemah atau tunduk pada tentangan.  Pepatah Melayu ada mengatakan; tangan yang mengayun buaian dapat menggoncang dunia. 

 

Wanita walau bersifat lemah-lembut tetapi mampu menyumbangkan tenaga dan idea demi membangunkan negara Malaysia dalam pelbagai sektor khususnya politik, ekonomi, sosial dan perniagaan. 

 

Justeru itu, hak dan peranan wanita perlu diperkasa, disokong dan dihormati agar kekal utuh, bersemangat kental di dalam menghadapi arus cabaran globalisasi pada abad ke-21.  Oleh itu, masyarakat Malaysia seharusnya bersama-sama mengambil peranan bagi menjayakan hasrat mengangkat martabat wanita agar ia bukan sahaja dibebani oleh pejuang wanita. 

 

“Selamat Hari Wanita Sedunia, Pengorbanan dan Jasa Wanita tiada Noktah, Tandingan dan Penghujungnya.”  Lahirnya kita ke dunia dari rahim wanita yang berjuang selama 9 bulan.

 

Hentikan Diskriminasi, bina Hak kesaksamaan dan peluang yang sama rata

Menurut tinjauan “Suara Wanita di Malaysia mengenai Diskriminasi & Gangguan di Tempat Kerja yang dijalankan oleh Women’s Aid Organisation (WAO) dengan kerjasama agensi penyelidikan Vase.ai. menunjukkan jumlah 56% wanita di Malaysia pernah mengalami sekurang-kurangnya satu bentuk diskriminasi di tempat kerja. 


 

Women’s Aid Organisation

 


Tragis sekali apabila kita mendengar permasalahan gangguan seksual terhadap wanita di tempat kerja atau di mana-mana tempat berlaku di Malaysia.  Isu ini sangat serius dan sistem perundangan Malaysia perlu diperkukuhkan serta perlindungan terhadap wanita dari gangguan seksual di bawah Akta Pekerjaan 1955 perlu diperketatkan sewajarnya selain dari meluluskan Akta Gangguan Seksual.  Ini penting bagi memastikan wanita selamat dan dihormati oleh golongan lelaki.

 

Diskriminasi gender jelas berlaku dengan kajian yang dilakukan oleh Bank Dunia menunjukkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita pada tahun 2019 adalah 55%, jauh di bawah kadar penyertaan tenaga kerja lelaki  iaitu sebanyak 81%.  Signifikan sekali ia berlaku di mana-mana.

 

Diskriminasi terhadap golongan wanita hendaklah dihentikan sama sekali kerana ia bertentangan dengan keadilan atau hak sama rata yang sepatutnya diberi tanpa mengira perbezaan gender. 

 

Contohnya, dari segi pemberian gaji, peluang kenaikan pangkat sebagai ketua, hak menjawat pekerjaan yang lasak setanding lelaki, layanan yang seimbang diberikan oleh majikan kepada pekerja, infrastruktur atau kemudahan yang disediakan haruslah diberi sama rata kepada golongan wanita. 

 

Hak kesaksamaan dan peluang harus diberi sama rata di dalam mengangkat martabat mereka serta melahirkan keadilan, sokongan dan penghargaan yang berterusan tanpa berbelah bahagi agar hak wanita tidak diketepikan.  Hakikatnya, wanita tidak seharusnya dianggap lemah atau dipandang sebelah mata sahaja. 

 

Sudah terbukti dalam sejarah; wanita boleh menyahut pelbagai cabaran, meraih kejayaan dan menggapai apa sahaja yang diimpikan sebaris dengan kaum lelaki.  Ini dapat dibuktikan dengan kehadiran ramai tokoh wanita yang terkehadapan dan berjaya memimpin dengan hebat.  Bahkan’ ini menunjukkan bahawa Islam tidak menghalang kepimpinan kaum hawa.

 

Malah, terdapat segelintir wanita yang berjiwa besar sudah menjawat pekerjaan yang berat dan lasak iaitu sebagai pemandu pesawat tentera, penerbangan Air Asia, menggalas tanggungjawab yang mencabar sebagai ketua organisasi, konglomerat besi, pengangkutan, jurutera, kontraktor, hak-hak asasi perundangan wanita, ketua badan NGO, usahawan yang ternama serta aktif membuat kerja amal kebajikan dengan membantu golongan miskin dan kurang upaya. 


 

parafrasa

 


Kejayaan dan jasa-jasa wanita ini wajar diketengahkan sebagai bukit wanita mampu mengorak langkah dan cemerlang setanding dengan golongan lelaki di luar sana.

 

Hormati wanita, usah dipersia kehormatan wanita

Dewasa ini, sangat menyedihkan di platform media sosial, halaman berita tempatan dan luar negara kita disogokkan dengan kes-kes jenayah berkaitan dengan wanita hampir setiap hari.

 

Permasalahan kes rogol, keganasan rumah tangga, pembunuhan, pemerdagangan serta kejadian buli sama ada secara fizikal atau di alam siber semakin meningkat dan berleluasa tanpa ada simpati. 

 

Adakah ini yang sepatutnya diterima oleh seorang wanita yang lemah dan kaum hawa yang sepatutnya dilindungi?  Insaflah wahai masyarakat, kita sepatutnya menjadi peka dan prihatin di dalam mewujudkan golongan yang bertamadun, berakal, berakhlak dan melindungi wanita dari penganiayaan, kezaliman oleh mereka yang bersifat sadis dan kejam.

 

Tidak cukup itu, wanita sering dijadikan sebagai bahan santapan mata, minda atau sinonimnya dikenali “objektifikasi wanita” iaitu bahan pelaris barangan yang dijual dan sering dikaitkan dengan unsur-unsur seksual yang semakin berleluasa tanpa kawalan sama ada di dalam surat khabar, majalah bercetak atau di halaman media sosial. 

 

Ini sememangnya bukan sahaja melanggar etika pengiklanan yang digariskan tetapi menggadai maruah seorang wanita demi mengaut keuntungan dan tuntutan perniagaan yang bertentangan dengan konsep Al-Tijarah (perniagaan) dalam Islam. 

 

Lazimnya, kedudukan dan maruah wanita seharusnya dihormati dan dihargai di dalam apa sahaja bidang bukan disalahgunakan pada tempat yang tidak wajar.

 

Mendapat Pendidikan yang baik demi masa hadapan

Wanita dilahirkan bukan hanya menjadi ibu, isteri atau pengurus rumahtangga.  Pada zaman yang mencabar dan memerlukan persaingan adalah wajar seorang wanita memperoleh hak menuntut ilmu iaitu memperoleh peluang mengubah masa depan dengan mendapatkan hak mendapat pendidikan yang sempurna sejak kecil demi kebaikan di masa hadapan. 


 

parafrasa

 


Menyekat wanita di dalam menerima pendidikan sememangnya akan menghalang potensi wanita tersebut untuk mencapai impian bukan sahaja untuk memperoleh pekerjaan yang baik malah membina masa depan yang gemilang dan menyumbang kepada pembangunan negara.

 

Wahai ibu-bapa anda dipertanggungjawabkan dan harus diingat akan setiap peranan dan pengorbanan wanita amat besar di dalam melahir  dan membentuk generasi baharu yang produktif serta pemangkin kepada kelestarian tenaga insaniah, pembangunan, kesejahteraan, kemakmuran negara serta membina peradaban dunia sejajar dengan konsep kini Malaysia MADANI iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

 

Berdasarkan Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) tahun 2020 daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan pencapaian wanita amat membanggakan dalam sub-indeks pencapaian pendidikan dengan skor 1.059 dan sub-indeks kesihatan dan kehidupan yang mencatatkan skor 0.956.  Wanita berjaya mengoptimumkan kemahiran ilmu.

 

Hak tersebut sejajar dengan menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG’s) iaitu SDG3 membina kesihatan dan mental yang baik, SDG4 membina pendidikan yang berkualiti, SDG5 kesaksamaan gender dan SDG10  mengurangkan ketidakadilan atau ketidaksamaan.

 

Kerjasama wanita dan lelaki terutama dalam membina nukleus peradaban pemikiran dan peribadi mengikut acuan Islam, membina institusi kekeluargaan merupakan akar yang penting bagi menolak kebebasan dan keperkasaan wanita mengikut acuan barat iaitu ‘Feminisme’ yang berpaksikan individualistik, bebas atau kuasa membuat apa sahaja tanpa ada tentangan.

 

Pemerkasaan wanita di dalam menerokai ilmu dan kepakaran dalam pelbagai bidang masing-masing dapat melahirkan wanita yang fokus, kreatif, dinamik, berinovatif di dalam membantu kerajaan melaksanakan usaha yang memberi impak kebaikan serta dapat mewujudkan jaringan di peringkat tinggi bagi mencapai negara yang membangun di dalam melahirkan generasi yang berkualiti seimbang iaitu berilmu, berakhlak dan berkeperibadian sempurna.

 

Tuntasnya, wanita yang ingin berjaya di dalam apa sahaja bidang yang diceburi seharusnya mempunyai keyakinan diri, jati diri yang positif dan tidak kenal erti penat lelah atau putus asa. 

 

Setiap cabaran yang dilalui oleh seorang wanita harus ditempuh dengan ketabahan dan hati yang sabar kerana ia akan mendewasakan dan menjadikan wanita lebih cekal untuk berjaya. – DagangNews.com

 

Norazlinda Hj Mohammad merupakan Pensyarah Kanan (Kewartawanan) Pengajian Komunikasi dan Media, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka.