KUALA TERENGGANU 13 Jan - Permai Hotel Kuala Terengganu, anak syarikat milik penuh Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc) menyasarkan pendapatan sebanyak RM12 juta pada tahun ini.
Pengurus Besarnya, Noralizan Abd Rahman berkata, ia adalah sasaran hampir 11 peratus berbanding pendapatan sepanjang tahun 2022 iaitu RM10.8 juta.
Menurutnya, Permai Hotel yakin dapat mencapai sasaran itu melalui pelbagai promosi pakej penginapan sewaan dewan konvensyen, mesyuarat dan pameran serta ubahsuai restoran dan penambahbaikan bilik penginapan yang telah dilakukan setakat ini.
"Permai Hotel mempunyai 220 unit bilik pelbagai jenis iaitu standard, superior, deluxe, family dan suite yang menepati keperluan setiap pengunjung.
"Setakat ini, kita telah melakukan beberapa ubahsuai seperti menukar karpet di 90 unit bilik dan bakinya akan diteruskan demi menceriakan lagi suasana dan keselesaan pengunjung.
"Selain itu, Permai Hotel juga mengorak langkah bagi melakukan lebih banyak penambahbaikan dari segi mutu perkhidmatan makanan dengan mengubah suai Restoran Cahaya agar menjadi daya tarikan pelancongan di Terengganu," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian pembukaan semula restoran itu di Permai Hotel di Kuala Terengganu semalam.
Mengulas lanjut, Noralizan berkata, restoran itu telah ditutup selama tiga bulan bermula September 2022 secara keseluruhan untuk memberi ruang kepada proses pengubahsuaian secara optimal dijalankan.
"Berkonsepkan moden kotemporari dengan sedikit elemen bold, ia memberi nilai tambah kepada hotel ini agar terus menjadi pilihan ramai pengunjung yang mahu menjamu selera dengan pelbagai hidangan yang ditawarkan.
"Pembukaan semula restoran yang berwajah baharu ini juga turut bertujuan mempromosikan produk-produk baharu dan menarik pelanggan dari pelbagai golongan usia untuk mengunjungi Permai Hotel," katanya.
Beroperasi sejak 2008, Restoran Cahaya yang berwajah baharu telah dilengkapi dengan penambahan fasiliti seperti bilik makan tertutup, bilik mesyuarat mini dan ‘lounge’ yang dilengkapi dengan hiasan serba moden.
Ruangan luar restoran juga telah diberi sentuhan baharu dan diberikan nama 'Cahaya Terrace' dengan memfokuskan aneka hidangan Croissants dan kopi.
Noralizan berkata konsep ruang terbuka telah diterapkan dengan penambahan bumbung bagi menempatkan 60 hingga 80 orang tetamu bagi satu-satu masa di tepi kolam renang. - DagangNews.com