Pertama Digital bakal jana RM87.76 juta melalui penempatan saham kepada Macquarie Bank | DagangNews Skip to main content

Pertama Digital bakal jana RM87.76 juta melalui penempatan saham kepada Macquarie Bank

Oleh DIYANA ISAMUDIN

PETALING JAYA 17 Mac - Pertama Digital Berhad telah memeterai perjanjian langganan dengan Macquarie Bank Limited Australia untuk langganan saham baharu syarikat tersebut yang dijangka menjana hasil kasar sehingga RM87.76 juta.

 

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata penempatan 43 juta saham kepada bank itu adalah kira-kira 10% daripada jumlah saham terbitannya.

 

“Macquarie Bank akan melanggan jumlah tersebut secara berperingkat menurut terma dan syarat perjanjian yang dimeterai pada 16 Mac 2023.

 

Sehingga 15 Mac 2023, modal saham terbitan kumpulan adalah sebanyak RM48.82 juta terdiri daripada 433.36 juta saham,” kata syarikat yang mengendalikan gerbang perkhidmatan pesanan ringkas kerajaan Malaysia.

 

Terdahulu, pelaksanaan penempatan itu telah mendapat kelulusan daripada 99% pemegang saham syarikat pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan pada 13 Mac 2023.

 

Berdasarkan harga langganan ilustrasi RM2.041 sesaham, syarikat itu menjangkakan peningkatan jumlah hasil kasar sehingga RM87.8 juta daripada penempatan saham itu.

 

“Hasil kewangan itu membolehkan Pertama Digital memperoleh perniagaan dalam sektor penyelesaian digital yang akan melengkapkan tawaran perkhidmatan semasa syarikat,” tambahnya.

 

Dalam kenyataan yang sama, Macquarie Bank telah memaklumkan bahawa ia tidak bercadang untuk melantik ahli lembaga pengarah atau mengambil bahagian dalam pengurusan atau membuat keputusan Pertama Digital.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Saify Akhtar berkata “Hasil daripada pelaksanaan penempatan ini membolehkan kami mempercepatkan pertumbuhan dan mencapai matlamat kami dengan berkesan.

 

Kami berhasrat untuk memanfaatkan suntikan modal ini untuk meningkatkan lagi keupayaan dan penawaran kami di pasaran,” katanya.

 

Setakat pukul 2:41 petang hari ini, saham Pertama Digital menokok 4 sen, mendorong peningkatan 1.8% kepada RM2.21. -DagangNews.com