Pilih premis makanan yang bersih dan berkualiti | DagangNews Skip to main content

Pilih premis makanan yang bersih dan berkualiti

Oleh Prof Madya Dr Malina Osman, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia

BARU-BARU ini tular isu tikus yang didapati makan dan bergelumang dalam bekas yang mengisi hidangan ayam goreng yang dipamerkan untuk dibeli pengguna.

 

Meskipun tindakan telah diambil dengan menyita dan menghentikan operasi premis berkenaan dalam tempoh 24 jam, namun dalam masa yang sama semua pengguna juga perlu lebih berhati-hati dalam memilih premis makanan. Ini penting bagi memastikan makanan yang dibeli dan dimakan adalah terjamin bersih dan selamat.

 

Selain dari memastikan makanan yang diambil mengandungi nutrisi yang sihat dan berzat serta kandungan yang diperlukan tubuh, kita juga bertanggungjawab memastikan makanan adalah bersih serta disediakan di tempat yang bersih (hygienic) serta mengamalkan sistem yang disyorkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

 

Ini penting bagi mengelakkan jangkitan yang bukan sahaja menyebabkan penyakit yang menjejaskan seseorang sehingga boleh dimasukkan ke wad, namun terdapat juga kes yang pernah dilaporkan sebelum ini yang telah membawa maut.

 

Antara penyakit yang berkaitan dengan pencemaran silang terhadap makanan yang siap dimasak ialah jangkitan cirit-birit, keracunan makanan, kepialu, kolera, salmonellosis serta penyakit cirit-birit berdara (disenteri).

 

Kajian yang telah dijalankan sebelum ini mendapati jurang perbezaan ketara antara tahap kesedaran pengendali makanan dan pengguna.


 

Prof Madya Dr Malina Osman
                                    Prof Madya Dr Malina Osman

 


Disebabkan sistem yang memerlukan pengendali makanan hadir kursus berkaitan penyediaan makanan dan aspek berkaitan sebelum diberikan lesen beroperasi, kebanyakan mereka mempunyai tahap pengetahuan dan kesedaran yang cemerlang.

 

Namun demikian, kajian berkenaan hanya melibatkan pengendali yang berdaftar, sedangkan dalam dunia sebenar kita dapat ramai pekerja yang datang secara sambilan serta tidak hadir dalam kursus berkenaan.

 

Di pihak pengguna pula, kebanyakan mereka mempunyai tahap kesedaran yang rendah ke sederhana, dengan liputan markah purata sekitar 35 hingga 60%. Sejumlah besar masih tidak mempunyai pengetahuan sebagai pengguna yang bijak dalam memilih premis berkualiti yang dapat menyediakan makanan yang bersih dan selamat.

 

Melihat konteks premis penyediaan makanan pula, meskipun sesebuah premis makanan mempunyai pemarkahan atau gred kebersihan masing-masing; namun perlu difahami bahawa gred berkenaan diberikan dalam tempoh bermusim bergantung kepada kemampuan Jabatan Kesihatan membuat pemantauan.

 

Contohnya seperti 6 bulan ke 1 tahun sekali. Dalam banyak keadaan, situasi sebenar premis makanan mungkin berbeza dengan gred yang telah diberikan. Oleh itu, kita sebagai pengguna perlu mengambil sikap berhati-hati dan prihatin apabila memilih premis makanan.


 

parafrasa

 


Antara aspek yang perlu diperhatikan oleh pengguna dalam memilih premis makanan yang berkualiti ialah sikap dan tatacara pengendalian pengendali makanan.

 

Mereka mesti mengenakan apron, penutup kepala dan memastikan anggota jari dan tangan tidak mempunyai sebarang luka atau kecederaan. Walaupun masih belum dikuatkuasakan, sebaik-baiknya ialah mereka juga dapat menggunakan pelitup muka semasa mengendalikan makanan.

 

Pengendali makanan juga perlu mempunyai sikap dan tatacara yang bersih. Ini termasuklah tidak bercakap semasa mengendali makanan, tidak menggaru hidung atau bahagian badan dan sentiasa mengamalkan etika batuk dan bersin. Pengendali yang didapati meludah merata-rata merupakan petunjuk tidak bersih dan perlu dielakkan untuk kita makan di premis makanan atau membeli makanan darinya.

 

Sesebuah premis makanan perlu menyediakan bekas menyimpan makanan yang bersih dan kalis dari serangga atau haiwan kecil seperti lipas, lalat atau tikus untuk mencemarinya.

 

Antara yang disyorkan ialah dengan menggunakan bekas makanan yang diletakkan dalam takungan berisi air yang sentiasa dipanaskan serta ditutup dengan jaring untuk melindungi makanan berkenaan sekiranya terdedah dalam tempoh masa yang lama.

 

Lantai makanan perlu selalu dibersihkan serta dilap meja dengan bersih di samping mematikan tiada haiwan seperti kucing atau anjing yang berkeliaran. Aspek penyediaan makanan mentah dan sumber air juga perlu memenuhi piawai seperti yang telah ditetapkan.


 

parafrasa

 


Satu lagi petunjuk premis yang bersih dan berkualiti ialah tahap kebersihan singki tempat mencuci tangan dan juga tandas yang disediakan adalah bersih dan bersih.

 

Keadaan singki yang berlendir, tidak diurus dengan baik serta tidak dibersihkan dari sisa makanan berhari-hari, berpotensi mengundang haiwan tertentu seperti tikus dan lipas untuk datang. Ini mendedahkan risiko keselamatan makanan dan kesihatan pelanggan yang datang.

 

Tandas yang tidak diselenggara dengan baik, tidak mempunyai air bersih, sistem kumbahan tidak memuaskan serta terlalu dekat dengan tempat penyediaan makanan juga merupakan petunjuk yang perlu dimanfaatkan pengguna untuk mengelakkan diri dari makan di kedai berkenaan.

 

Di samping itu juga, premis makanan yang tidak mempunyai sumber air bersih yang sempurna untuk tujuan memasak, bekalan minuman dan membasuh peralatan memasak dan makan juga perlu dielakkan.

 

Premis makanan juga disyorkan menggunakan cat warna terang serta memasang lampu yang cukup selesa untuk pengguna membuat pertimbangan terhadap mutu, peralatan seperti pinggan, sudu dan garpu dan kebersihan makanan yang disediakan.

 

Premis yang dicat gelap, menggunakan lampu malap serta tidak mampu memberikan maklumat kepada pengguna tentang tahap kebersihan dan keselamatan yang dimakan perlulah dielakkan.


 

parafrasa

 


Pengguna dan pengendali makanan saling memerlukan antara satu sama lain. Dalam dunia pekerjaan yang mana individu tidak sempat menyediakan makanan sendiri, sebahagian besar kita mengharapkan perkhidmatan pengendali makanan untuk menyediakan makanan berkualiti yang bersih dan selamat.

 

Dalam masa yang sama, pengendali makanan juga perlu bertanggungjawab memastikan proses penyediaan dan tempat menyediakan makanan juga terjamin kebersihan dan keselamatannya untuk memastikan pengguna terlindung dari bahawa penyakit bawaan makanan. – DagangNews.com