PLS Plantations cadang laksana penempatan 56.24 juta saham baharu penuhi sebaran pegangan awam | DagangNews Skip to main content

PLS Plantations cadang laksana penempatan 56.24 juta saham baharu penuhi sebaran pegangan awam

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 25 Jan - PLS Plantations Bhd. bercadang untuk melaksanakan penempatan 56.24 juta saham baharu pada 95 sen sesaham bagi memenuhi sebaran pegangan saham awamnya dan membiayai sebahagian pengembangan perniagaan perladangan pada masa akan datang di Pahang.

 

Menurut PLS, ia telah memeterai lima perjanjian berasingan secara serentak dengan pihak yang akan melanggan sejumlah 25 juta saham kumpulan itu yang bernilai RM23.75 juta.

 

Mereka ialah Tan Sri Norza Zakaria (10 juta saham), Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan (lima juta saham), Datuk Eric Tan Chwee Kuang (lima juta saham), pengarah eksekutif Reservoir Link Energy Bhd, Thien Chiet Chai (dua juta saham) dan Mirus Holdings Sdn Bhd (lima juta saham).

 

“Lembaga pengarah melihat cadangan penempatan ini adalah sebagai cara paling cepat untuk menangani sebahagian kekurangan dalam sebaran pegangan saham awam dan syarikat akan terus meneroka pilihan lain untuk membolehkan syarikat mematuhi sepenuhnya keperluan penyebaran awam itu,” katanya dalam makluman di Bursa Malaysia semalam.

 

Setakat awal tahun ini, PLS mempunyai 399.656 juta saham terkumpul serta 162.71 juta waran boleh tukar pada 80 sen setiap satu.

 

Berdasarkan makluman itu juga, kumpulan menyatakan penempatan saham tersebut akan meningkatkan hasil sehingga RM56.24 juta, dengan 63% hingga 64% daripadanya akan digunakan untuk mengembangkan tanaman kontan, durian dan aktiviti perlandangan lain. 

 

Sementara itu, baki hasil akan disalurkan kepada modal kerja dan pengembangan hiliran perniagaan durian.

 

Berdasarkan senario minimum penempatannya (39.96 juta saham mewakili 10% daripada asas saham sedia ada), PLS berkata, tebaran pegangan saham awamnya akan meningkat kepada 20.24% daripada 12.26% pada akhir tahun lepas.

 

Pemegang saham terbesar PLS ialah unit tersenarai Ekovest Bhd milik Tan Sri Lim Kang Hoo dengan 73.08% kepentingan, diikuti oleh Datuk Lim Kang Yew dengan 9.05%. - DagangNews.com