PLUS jangka 1.9 juta kenderaan guna lebuh raya sempena cuti Maulidur Rasul | DagangNews Skip to main content

PLUS jangka 1.9 juta kenderaan guna lebuh raya sempena cuti Maulidur Rasul

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 5 Okt - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan kira-kira 1.9 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya kendaliannya setiap hari bermula Jumaat ini sehingga Isnin berikutan cuti sambutan Maulidur Rasul. 

 

Jumlah itu merupakan lonjakan daripada 1.7 juta kenderaan sehari pada hari-hari biasa dan menggesa pelanggan merancang perjalanan mereka bagi menghadapi kemungkinan berlakunya kesesakan dan memanjangkan tempoh perjalanan mereka.

 

Menurut Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz, sejak beralih ke fasa endemik, PLUS telah merekodkan jumlah trafik harian seperti mana tempoh pra-pandemik iaitu 1.7 juta kenderaan setiap hari pada hari-hari biasa. 

 

"Pada ketika ini, jumlah tersebut melonjak kepada 1.9 juta kenderaan pada hujung minggu dan kami menjangkakan ia berterusan ketika cuti hujung minggu ini dan cuti sambutan Maulidur Rasul yang mana pelanggan lebuh raya akan mengambil kesempatan cuti selama 3 hari. 

 

"Oleh itu, kami menasihatkan supaya pelanggan yang ingin menggunakan lebuh raya pada hujung minggu ini supaya membuat persediaan dan memastikan kenderaan mereka berada di dalam keadaan yang baik bagi menghadapi kemungkinan berlakunya kesesakan akibat lonjakan trafik tersebut.

 

“Sebelum memasuki lebuh raya, pelanggan dinasihatkan untuk menambah nilai kad Touch ‘n Go dan e-Wallet (bagi mereka yang menggunakan RFID) dan memastikannya sentiasa mempunyai baki yang mencukupi dan tambah nilai sebelum memulakan perjalanan untuk mengelakkan kesulitan ketika keluar di plaza tol," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Dengan memuat turun aplikasi PLUS, pelanggan lebuh raya boleh merancang perjalanan dan mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya. 

 

Sebagai alternatif, pelanggan boleh mengikuti laporan trafik menerusi Twitter @PLUSTrafik, talian PLUSLine 1800-88-0000, Chatbot PUTRI serta papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih. Pelanggan juga disaran menggunakan aplikasi Waze atau Google Map.

 

Kementerian Kesihatan Malaysia juga telah memberi penerangan tentang prosedur operasi standard (SOP) pasca COVID-19 yang masih kekal dikuat kuasa dan pelanggan lebuh raya juga dinasihatkan supaya memakai pelitup muka apabila berada di kawasan sesak. - DagangNews.com