Potensi besar eksport minyak sawit Malaysia ke pasaran Afrika - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Potensi besar eksport minyak sawit Malaysia ke pasaran Afrika - AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Mac - AmInvestment Bank Research percaya bahawa Afrika merupakan destinasi eksport minyak sawit yang berpotensi besar kepada Malaysia kerana populasinya yang tinggi serta peningkatan pendapatan boleh guna.

 

Firma itu berkata, minyak sawit mempunyai kelebihan daya saing berbanding minyak sayuran lain di benua itu kerana ia lebih murah.

 

Katanya, Statista meramalkan populasi Afrika meningkat kepada 2.5 bilion menjelang 2050 daripada 1.2 bilion pada 2016.

 

"Eksport sawit Malaysia ke Afrika meningkat 39.6% kepada 2.6 juta tan pada 2021 daripada 1.9 juta tan pada 2011

 

"Kami percaya bahawa minyak sawit digunakan dalam industri berkaitan makanan di Afrika berbeza dengan Kesatuan Eropah (EU), yang menggunakan minyak sawit untuk biodiesel," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu percaya bahawa Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) akan meningkatan permintaan minyak sawit dari Afrika.

 

Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berkata, Indonesia tidak dapat memenuhi eksport  ke negara-negara Afrika kerana perlu memenuhi permintaan pasaran domestik dan pembeli sedia ada seperti India dan China.

 

"Di Afrika, Kenya merupakan pembeli terbesar produk sawit Malaysia pada tahun 2021 dan negara itu menyumbang 26% daripada pembelian minyak sawit Afrika pada tahun sama. Secara keseluruhan, Kenya membentuk 4.3% daripada eksport sawit Malaysia," katanya.

 

Firma itu mengekalkan pandangan 'neutral' untuk sektor itu. - DagangNews.com